Saturday 18 July 2020

Pertumbuhan Insurans di Arab Saudi 2019


Middle East Insurance Review pada 15 Julai 2020 melaporkan industri insurans di Arab Saudi berkembang buat pertama kalinya dalam tempoh tiga tahun pada tahun 2019 dengan pertambahan sebanyak 8% atau SAR37.9 billion (Ref). Laporan ini dipetik daripada Saudi Arabia Insurance Market Report 2019 yang dikeluarkan oleh Saudi Arabian Monetary Authority (SAMA). Peningkatan  ini disumbangkan secara signifikannya oleh premium perubatan. Secara keseluruhannya premium perubatan dan motor menyumbang sebanyak 82% GWP (Gross Written Premium) industri insurans pada tahun 2019 iaitu dengan kadar pertumbuhan sebanyak 13%. GWP bagi premium kesihatan adalah sebanyak 59.3% (SAR22.5 billion) manakala NWP (Net Written Premium) adalah sebanyak 68.3% atau SAR21.6 billion. GWP kesihatan pada tahun 2018 adalah sebanyak 56.8%. Manakala GWP bagi premium motor bagi tahun yang sama adalah sebanyak 22.7% (SAR8.6 billion). Begitu juga didapati nisbah penembusan atau penetration ratio bertambah sebanyak 1.28% pada tahun 2019 berbanding 1.20% pada tahun 2018. Ini ditunjukkan melalui peningkat mendadak hasil bersih pasaran insurans sebanyak 370% iaitu kepada SAR858 juta pada tahun 2019 daripada hanya SAR183 juta pada 2018. Nisbah pemegangan atau retention ratio juga adalah tinggi pada sektor kesihatan iaitu sebanyak 96.2%, walaupun terdapat sedikit pengurangan berbanding tahun 2018 sebanyak 97.2% dan 96.7% pada tahun 2017. Sungguhpun demikian jumlah tuntutan bersih atau Net Claims Incurred bagi kedua-dua sektor perubatan dan motor adalah tinggi iaitu masing-masing sebanyak SAR18.3 billion dan SAR6 billion. Namun begitu SAMA melaporkan nisbah kerugian atau Loss Ratio kedua-dua sektor ini adalah stabil iaitu sebanyak 87.8% bagi kesihatan dan 73.1% bagi motor.  


Peningkatan dalam pembayaran premium kesihatan ini berpunca daripada kenaikan harga premium akibat daripada semakan kepada jadual pembayaran faedah kesihatan. Ini bermakna pemegang premium terpaksa membayar harga yang lebih mahal berbanding tahun-tahun sebelum ini. Oleh yang demikian peningkatan ini sungguhpun nampak menarik dari segi angkanya tidaklah merubah apa-apa yang signifikan dari segi perkembangan insurans. Ini ditambah lagi dengan penurunan sumbangan premium motor sebanyak 8.7%. Penurunan ini berpunca daripada no claim discount dengan ketiadaan polisi baru. Namun adalah dijangkakan premium insurans motor meningkat pada tahun-tahun mendatang antaranya akibat daripada polisi membenarkan wanita memandu kenderaan pada tahun 2018 dan polisi kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan pendaftaran kenderaan dilindungi oleh insurans kepada 50%. Peningkatan dalam premium kesihatan juga dijangka meningkat dengan pengenalan skim insurans kesihatan kepada jemaah haji yang bermula pada tahun 2020 - Ref. Sebagaimana maklum halangan utama perkembangan insurans di Arab Saudi dan juga negara Islam yang lain adalah sistem bantuan sosial yang kukuh dan sebati dengan masyarakat Islam seperti zakat, sedekah, wakaf dan lain-lain yang bersifat non formal dan voluntari.  Ini ditambah lagi dengan pegangan konsep tawakkal yang berlebihan dan menolak sesuatu yang bersifat perancangan masa hadapan di sesetengah kalangan umat Islam.   

Mungkin ada bertanya, mengapa terma insurans digunakan di Arab Saudi dan tidak Takaful. Keadaan ini boleh menimbulkan kekeliruan pada sesetengah kalangan yang akan merasakan insurans berkenaan tidak patuh Syariah. Sebagaimana yang dimaklumi, di Malaysia dan juga negara-negara lain istilah takaful digunakan bagi menganti insurans yang dianggap tidak patuh Syariah. Ini mungkin berbeza di Arab Saudi kerana model insurans yang digunakan adalah berbentuk insurans kerjasama atau mutual/cooperative insurance atau apa yang dikenali dalam bahasa Arab sebagai Ta'min Ta'awuni. Model insurans sebegini dikatakan sebagai patuh Syariah. Keadaan ini menjelaskan sungguhpun Loss Ratio yang tinggi dalam premium perubatan dan motor, keadaan ini tidak menimbulkan tekanan kepada syarikat insurans. Sungguhpun demikian amalan-amalan tadbir urus yang biasa terdapat di dalam takaful bagi memastikan kepatuhan Syariah seperti Jawatankuasa Pengawasan Syariah, pelaburan patuh Syariah dan lain-lain tidak diamalkan di syarikat insurans di Arab Saudi. Perkara ini dijelaskan oleh seorang penulis bernama Bashar Al Natoor sebagai berikut:

"Saudi Arabia’s cooperative insurance model is a Sharia-compliant structure where 10 per cent of the net surplus of an insurer’s profit is returned to policyholders annually, by direct payment or reduction in the premiums for the following year. However, in contrast to takaful, it does not include any provisions relating to Sharia-compliant investment requirements, Sharia-compliant boards, or the segregation of takaful funds from shareholder insurance funds".Ref

Untuk mengikuti perkembangan negara-negara Islam yang lain dan juga kemungkinan bagi tujuan perniagaan, produk-produk takaful juga diperkenalkan oleh syarikat insurans di Arab Saudi. Ketiadaan amalan tadbir urus yang berkaitan dengan pematuhan Syariah di Arab Saudi tidaklah bermakna syarikat yang menawarkan insurans bebas melakukan apa sahaja. Ini adalah kerana jika terdapat pertikaian antara syarikat dengan pemegang premium insurans, undang-undang yang akan digunakan bagi menyelesai pertikaian tersebut di Mahkamah adalah undang-undang Syariah. Ini ditetapkan dalam Perkara 7 Undang-undang Utama Perundangan Arab Saudi 1412H (1991M) iaitu semua perundangan di Arab Saudi yang terpakai di Mahkamah merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah. Keadaan ini berbeza dengan negara-negara lain, di mana undang-undang yang akan digunakan di Mahkamah jika berlaku pertikaian adalah undang-undang negara berkenaan yang tidak merujuk kepada Syariah.   

No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...