Thursday 16 July 2020

Ulasan Artikel Dalam Islamiyat al Ma‘rifah (Journal of Contemporary Islamic Thought) Vol.25, No.98 2019/1440.

Ulasan Artikel Dalam Islamiyat al Ma‘rifah (Journal of Contemporary Islamic Thought) Vol.25, No.98 2019/1440. 182 halaman (Ketua Editor: Fathi Hasan Malkawi, Penerbit: Institute of Islamic Thought, Herndon Virginia USA). 182 halaman.

Dalam keluaran ini terdapat empat artikel dan dua ulasan penerbitan. Apa yang menarik bagi pengkaji Syariah ialah penulisan oleh Muhammad al-Tahir al-Maysawi dan Bilal Barakat Salhab bertajuk Ara’ Abi al-Hasan al-Asy'ari fi Masa’il Usul al-Fiqh wa Atharuha fi Ikhtiyaratihi al-Kalamiyyah, halaman 11-44. Penulisan kedua ialah ulasan buku oleh Munjid Mustafa Bahjat di halaman 159-172. Buku ini bertajuk Isma‘il al-Faruqi wa Ishamatuhu fi al-Islah al-Fikri al-Islami al-Mu‘asir diedit oleh Fathi Malkawi et.al.

Artikel oleh Maysawi dan Salhab cuba untuk menonjolkan penggunaan kaedah-kaedah Usuliyyah oleh Imam Abu al-Hassan al-Asy’ari, iaitu pengasas kepada aliran Asya’irah, dalam masalah ilmu kalam. Menurut penulis tiada kajian khusus pernah dilakukan terhadap pemikiran Imam dalam persoalan Usul al-Fiqh melalui rujukan kepada kitabnya secara langsung atau kepada kitab salah seorang muridnya. Kajian-kajian yang ada mengenai pandangan Imam dalam persoalan Usul al-Fiqh tidak menggunakan bahan penulisan Imam sendiri atau yang dipetik langsung daripadanya. Oleh yang demikian artikel ini bertujuan untuk membuat analisis pemikiran Imam dalam persoalan Usul al-Fiqh dari kitabnya iaitu al-Ibanah dan al-Luma‘ serta Mujarad Maqalat al-Shaikh Abi al-Hasan al-Asy’ari tulisan muridnya bernama Ibn Furaq. Perbandingan juga dilakukan dengan merujuk kepada penulisan ulama Usul al-Fiqh dari aliran Asy‘irah yang lain seperti Baqillani dan Isfirayayni. Rujukan lain yang diguna ialah penulisan Razi, Ghazali, Zarkhasi dan Suyuti. Penulis memberitahu bahawa sumber Syariah yang empat iaitu al-Quran, al-Sunnah, Ijma‘ serta Qiyas (dalam pelbagai istilah seperti ijtihad dan ra’y) sudah menjadi maklum kepada ulama, sebelum Imam Syafi‘i lagi. Bahkan dikatakan Wasil bin ‘Ata’, pengasas mazhab Mu’tazilah, iaitu guru kepada Imam Asy’ari pernah berkata: “kebenaran itu diketahui dari empat cara iaitu Kitab (al-Quran) yang jelas (natiq), khabar yang dipersetujui oleh semu kebenarannya, hujah akal dan ijmak” (h.22-23).

Dengan merujuk kepada perbahasan ilmu kalam dalam masalah Ru’yatul Allah, penulis memilih enam kaedah Usulliyyah dalam menafsirkan dalil-dalil hukum Syarak iaitu tawqif fi ma’na al-lughah, muhkam wa mutasyabih, nass wa zahir, haqiqah wa majaz, ‘am wa khas dan takhsis al-‘am. Dalam penggunaan kaedah-kaedah bahasa ini Imam telah berpegang kepada kaedah yang digunakan oleh ulama-ulama Usul al-Fiqh aliran mutakalimin iaitu makna sesuatu perkataan di dalam nas hendaklah difahamo sevata muhkam, apa yang dinaskan dan secara hakikat perkataan ini. Makna yang disebalik itu hanya boleh diubah daripada muhkam atau nas atau hakikat atau dari pada ‘am kepada khas dengan petunjuk daripada dengan nas atau dalil-dalil yang diiktiraf. Oleh yang demikian keharusan seseorang hamba untuk melihat Allah swt di hari akhirat nanti adalah sesuatu yang hakiki dan tidak boleh ditukar atau diubah melainkan dengan dalil. Daripada perbincangan yang diutarakan menunjukkan Imam Asy’ari mementingkan nas dalam pemahaman dalil-dalil syarak, namun pada saat yang sama memberi akal peranan dalam pemahaman nas. Dalam hubungan ini Imam berkata untuk memahami nas boleh diperolehi melalui akal, bahasa dan pendengaran (h.32). Asas ini ditegaskan oleh Imam Asy’ari dengan katanya “Pengetahun mengenai hukum hakam perkara-perkara diperolehi melalui empat iaitu Kitab dan Sunnah, Ijmak ummah, qiyas dan ‘ibrah (h.24). Pengkelasan ‘ibrah sebagai sumber kepada pengetahuan dan ilmu menunjukkan penerimaan peranan pemikiran oleh Imam Asy’ari. Perkara ini menjadikan aliran pemikiran Asya’irah sasaran kritikan oleh aliran Mujassamah dan neo-salafi yang menolak kefahaman nas berasaskan ‘ibrah terutama di dalam perbincangan ilmu kalam.

Ulasan buku oleh Munjid al-Bahjat yang relevan kepada pengkaji Syariah adalah pada bab ketiga yang menyentuh metodologi atau pendekatan Profesor Faruqi menggunakan dan menganalisis bahan-bahan tradisi atau turath Islam. Sebagaimana yang diketahui Profesor Faruqi adalah tokoh pemikir Islam moden yang cuba untuk menilai semula beberapa kesimpulan dan metodologi tradisi Islam dalam konteks pemikiran moden. Buku ini berasal daripada dua siri pembentangan kertas kerja pada tahun 2014 dan 2014 yang diadakan di Jordan. Antara sumbangan terbesar Profesor Faruqi adalah gagasan Islamiyyatul Ma’rifah atau Islamization of Knowledge yang difokuskan kepada enam tema ilmu moden barat iaitu ekonomi, sosial, pendidikan, politik, saikologi dan sejarah. Gagasan ini adalah untuk memahami hakikat ilmu berkenaan dari aspek positif dan negatifnya dari sudut pandangan Islam. Namun begitu kacamata Islam yang digunakan oleh Profesor Faruqi untuk melihat ilmu-ilmu moden ini bukanlah secara ikutan kepada tradisi Islam lampau, namun memahami ilmu berkenaan melalui pembacaan Islam yang baru dengan mengambil faedah daripada metodologi dan analisis ilmu-ilmu moden di atas. Dengan kata lain Profesor Faruqi menggunakan instrument atau alat analisis dan ilmiah ilmu berkenaan untuk memahami Islam. Ini bermakna apa yang dilakukan ialah analisis atau penilaian kepada fenemona ilmu mengikut nilai dan asas ajaran Islam namun dengan mengunakan teknik dan instrumen ilmu-ilmu moden dari barat (h.161). 

Di sini mungkin ada perbezaan dengan maksud Islamization of Knowledge seperti yang difahami oleh sesetengah penulis terutama di Malaysia sebagai pengislaman ilmu barat atau moden. Kefahaman ini bermaksud asas ilmu tersebut adalah dari Barat yang diislamkan samada dengan memasukkan elemen-elemen Islam dan membuang elemen-elemen yang bertentangan dengan Islam atau Syariah. Contoh yang boleh ditunjukkan disini ialah seperti ekonomi Islam atau saikologi Islam. Pendekatan ini sudah tentu akan menghasilkan yang natijah berbeza di mana anjuran atau tujuan asal menilai semula kesimpulan dan metodologi tradisi Islam tidak akan tercapai. Oleh yang demikian dalam disiplin Ekonomi Islam dan kemudiannya dikembangkan kepada kewangan Islam, amalan-amalan perbankan moden hanya diperbaiki dan dimodifikasi secara kosmetik oleh akad-akad tradisi Islam. Jika mengikut pendekatan asal Islamization of Knowledge Profesor Faruqi seperti yang dinyatakan oleh penulis, apa yang akan berlaku adalah penilaian tafsiran riba oleh ulama tradisi mengikut instrumen dan kacatama moden. Jika ini dilakukan sudah tentulah natijah yang dihasilkan berbeza daripada apa yang difahami pada hari ini. Sungguhpun demikian kefahaman yang berbeza ini timbul akibat daripada faktor-faktor lain seperti pengaruh aliran neo-salafi dan revivalis yang menguasai kebanyakan institusi agama negara-negara Islam termasuk institusi kewangan Islam.






 

No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...