Monday 31 August 2020

Pentadbir Harta Pusaka Sama Seperti Pemilik Harta?

Mahkamah Persekutuan Putrajaya dalam kes Tebin Mostapa v. Hulba-Danyal Balia & Anor [2020] 7 CLJ 561 pada 3 Julai 2020 yang lalu setelah meneliti maksud beberapa perkataan berkaitan di dalam dua undang-undang utama berkaitan tanah dan pentadbiran pusaka  di Sarawak seperti berikut:

-      Pemilik berdaftar/registered proprietor di seksyen 115, 177 dan 218 di dalam Kanun Tanah Sarawak (Cap 81)

-      Wakil/representative di seksyen 2 Kanun Tanah Sarawak

-      Pentadbir/administrator di seksyen 4, 5 dan 17 Ordinan Pentadbiran Pusaka Sarawak (Cap 80)

-      Diletakhak/vest di seksyen 15 Ordinan Pentadbiran Pusaka Sarawak  

memutuskan pentadbir harta pusaka atau administrator mempunyai locus standi atau keahlian untuk membuat tindakan atau permohonan mengenepikan kaveat yang didaftarkan ke atas tanah pusaka di bawah kuasa pentabirannya. Di dalam Kanun Tanah Sarawak, pemilik yang meninggal dunia (deceased proprietor) termasuk juga pentadbir wasiat dan pusaka dan Kanun yang sama juga menganggap pentadbir tersebut sebagai pemilik pendaftar. Oleh yang demikian melalui seksyen 177(1), pentadbir secara undang-undangnya dianggap sebagai pemilik berdaftar harta pusaka berkenaan. Begitu juga Ordinan Pusaka di seksyen 15 memperuntukkan apabila seorang pentadbir dilantik di bawah kuasa pentadbiran, semua harta, pusaka dan pemilikan gemulah diletakhak (vested) kepadanya. Oleh yang demikian pentadbir mengambil alih tugas gemulah pemilik harta dan mempunyai kelayakan untuk berurusan dengan harta berkenaan seolah-olah ianya sama seperti pemilik harta tersebut.

Tidak dapat dipastikan apakah keputusan ini terpakai di semenanjung, memandangkan terdapat undang-undang berbeza mengenai tanah dan pusaka antara Sarawak dan negeri-negeri semenanjung. Begitu juga persoalan sama ada ianya terpakai kepada orang Islam atau tidak. Namun berdasarkan kes di atas, pihak-pihak yang bertikai adalah orang Islam. Oleh yang demikian, sekurang-kurangnya keputusan kes ini terpakai kepada orang Islam di Sarawak.

Sebagaimana yang dimaklumi tanggungjawab seseorang pentadbir harta pusaka adalah menguruskan agihan harta-harta simati kepada waris-warisnya yang berhak. Ini adalah kerana terdapat banyak urusan yang perlu dilakukan seperti pembayaran hutang dan cukai atau zakat yang tertunggak serta pendaftaran nama-nama waris sekiranya melibatkan hartanah dan lain-lain aset seperti saham, kenderaan dan sebagainya. Dari sudut perundangan Islam, perkara ini tidak menimbulkan persoalan. Namun begitu status seorang pentadbir harta pusaka di dalam perundangan Islam tidaklah sampai sama seperti pemilik harta berkenaan dalam semua segi. Seorang pentadbir bertindak menunaikan hak-hak yang terlibat dengan harta berkenaan sahaja. Ia tidak boleh bertindak melebihi daripada itu. Barangkali, maksud keputusan kes ini adalah kelayakan pentadbir untuk melakukan urusan-urusan bagi melindungi kepentingan pihak-pihak berkepentingan terhadap berkenaan.

Kes ini memberi pengesahan kepada fungsi dan tanggungjawab seorang pentadbir, iaitu bagi menjamin kepentingan harta berkenaan terpelihara. Ianya mungkin mempunyai persamaan dengan tanggungjawab seorang pemegangan amanah atau trustee. Di dalam undang-undang Inggeris pemegangan amanah mempunyai hak yang lebih luas daripada seorang pemegangan amanah di dalam undang-undang Islam. Di dalam pengurusan harta wakaf sebagai contoh seorang pemegang amanah hanya bertindak mengikut mandat yang telah ditetapkan oleh pewakaf. Ia tidak boleh bertindak melebihi daripada apa yang telah ditetapkan kepadanya.

No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...