Friday, 18 January 2019

Mengangkat Tangan Ketika Doa Khutbah Kedua Jumaat

Kita sekali lagi dihebohkan dengan masalah furu' yang sudah selesai, kerana ada beberapa orang Ustaz membaca hadith di mana seorang sahabat mengkritik seorang sahabat lain membaca khutbah jumaat mengangkat tangan ketika berdoa. Alasan kritikan itu kerana beliau tidak pernah melihat RasuluLlah s.a.w. mengangkat tangan ketika berdoa di minbar khutbah Jumaat. Pandangan dalam mazhab menyatakan hukum bagi Khatib yang mengangkat tangan ketika berkhutbah jumaat adalah makruh dengan andaian bahawa pengetahuan Sahabat tadi tidaklah bermakna perkara sedemikian tidak pernah berlaku. Ini adalah satu bentuk ihtimal atau anggapan. Dalam kaedah Usul al-Fiqh anggapan membawa kepada Zann. Ini ditambah lagi terdapat hadis sahih di mana RasuluLlah mengangkat tangan di minbar jumaat ketika berdoa istisqa' (doa khas meminta hujan). Begitu juga khatib yang mengangkat tangan berdoa ketika di minbar juga seorang bertaraf sahabat. Oleh yang demikian ulama mazhab menyatakan hukumnya sebagai makruh. Oleh demikian, tidaklah timbul persoalan ianya sebagai bid'ah. Namun persoalan yang seterusnya apakah hukum bagi makmum atau hadirin jumaat yang mendengar khutbah itu mengangkat tangan ketika berdoa. Maka sesetengah ulama mazhab turut memakruhkannya. Asas hukum ini adalah qiyas kepada hadis di atas. Namun pandangan ini ditarjihkan kemudiannya dengan menyatakan penggunaan kaedah qiyas kepada makmum adalah tidak muktabar atau boleh diterima kerana terdapat hadis-hadis lain yang sahih menganjurkan tangan diangkat ketika berdoa. Dalam kaedah Usul al-Fiqh sesuatu suruhan atau anjuran yang bersifat umum itu kekal dengan keumumannya sehingga ada dalil mengecualikannya. Dalam konteks ini para ulama menyatakan terdapat beberapa tempat di dalam solat tangan tidak diangkat ketika berdoa iaitu ketika doa iftitah, ketika duduk antara dua duduk dan duduk tasyahhud. Oleh yang demikian mengangkat tangan bagi makmum ketika khatib membaca doa terangkum di dalam keumuman nas dan tidak boleh dibatalkan oleh qiyas. Oleh yang demikian tidaklah timbul persoalan ianya bid'ah sebagaimana yang digembar gemburkan. Nasihat saya ialah ilmu hadis ini bukan medan perbincangan umum kerana petikan-petikan yang diambil dari hadis jika tidak diteliti dari pelbagai sudut boleh menimbulkan kekeliruan. Begitulah juga, jangan cepat membuat kesimpulan menyalahkan amalan-amalan yang sudah berlaku dalam masyarakat sebagai bid'ah hanya semata-mata melalui pembacaan dan kefahaman hadis secara literal. Tuduhan menyatakan mereka yang tidak bersetuju dengan pandangan kefahaman literal ini sebagai menolak hadis adalah satu pembohongan dan pendustaan kepada orang Islam yang lain. Benarlah kata Imam Nawawi ilmu hadis yang hendak dijadikan ikutan kepada orang awam adalah  bidang mujtahidin. Maksudnya orang awam apabila membaca hadis hendaklah merujuk kepada ilmuan dalam bidang hadis dan Usul supaya mendapat kefahaman yang tepat mengenai makna hadis berkenaan.        

Wednesday, 9 January 2019

Ciplakan Mathnawi Episod 1: Kisah Dayang dan Raja

Dikisahkan bahawa seorang Raja pergi memburu sebagaimana adat-adat raja di zaman dahulu sebagai satu bentuk hiburan atau permainan. Ia juga berperanan sebagai satu bentuk latihan fisikal dan kemahiran menunggang kenderaan dan mengguna senjata terutama memanah. Sebagaimana dalam cerita-cerita roman dahulukala, semasa memburu si Raja berpeluang melalui pelbagai pengalaman termasuk tidak kurangnya bertemu dengan bakal kekasih mahupun isteri. Maka begitu juga halnya si Raja ini, Baginda berjumpa seorang wanita dan jatuh hati kepadanya. Namun sebagai Raja yang bijak baginda membuat helah dengan membeli wanita itu untuk dijadikan sebagai dayang istana. Raja tersebut sungguh gembira dan bahagia dapat memiliki wanita berkenaan sebagai dayangnya. Namun selepas beberapa ketika dayang berkenaan jatuh sakit. Maka hasrat Baginda untuk bersama-sama dengan dayang berkenaan tidak kesampaian.
"Ibarat seorang yang mempunyai kuda tunggangan tidak mempunyai pelana, bila sudah terjumpa pelana kudanya diserang serigala. Ibarat seorang yang ada cawan namun tidak berjumpa air, bila berjumpa air, cawan itu pecah". 
Begitulah perumpamaan keadaan Raja dengan si Dayang yang baru dijumpainya. Raja tersebut amat bersedih hati dan penyakit dayangnya pula semakin melarat dari hari kehari sehingga menjadi kurus kering. Baginda pun memerintah seluruh tabib-tabib di dalam negara untuk datang mengubati penyakit Dayang itu dan berjanji dengan hadiah yang lumayan bagi mereka yang berjaya memulihnya. Dengan megahnya tabib-tabib itu berkata kami akan mencari ubat yang paling mujarab dan penyakit Dayang ini akan boleh kami sembuhkan. Tabib-tabib itu lupa bahawa yang menyembuh dan memulih adalah Allah swt dan mereka lupa untuk berkata In Sya Allah. Ternyata inilah yang berlaku kerana ubat-ubat yang diberi kepada Dayang itu tidak berkesan malah penyakitnya semakin melarat. Raja berkenaan berputus harap akhirnya pergi ke masjid untuk bermunajat. Sambil menadah tangan dan menangis memohon pertolongan, Raja berkenan terlelap. Dalam tidurnya dia bermimpi berjumpa seorang alim memberitahunya besuk akan datang ke istana seorang yang tak kenali yang boleh mengubat penyakit si Dayang. Apabila tiba pada waktunya, orang asing itu datang ke istana. Dia disambut dengan sendiri oleh si Raja. Lazimnya Bentara yang membawa tetamu menghadap Raja. Oleh kerana betapa istimewa orang asing ini, aturan ini tidak diikuti. Setelah si Raja memberi penjelasan tentang penyakit yang ditimpa Dayangnya, orang asing itu memohon untuk berjumpa. Setelah memeriksa Dayang tersebut sebagaimana kebiasaan Tabib pada masa itu dengan melihat warna wajahnya, mengambil kiraan nadinya dan memeriksa air kumuhnya, orang asing itu terperanjat betapa ubatan-ubatan yang diberi oleh tabib-tabib sebelum ini sebenarnya memburukkan lagi kesihatan si Dayang. Ini adalah kerana apa yang dideritai si Dayang bukan penyakit luaran, namun dihinggapi oleh penyakit dalaman. Namun orang asing itu merahsiakan perkara itu daripada Raja memandangkan apa yang diderita oleh wanita itu adalah penyakit hati, tidak ada penyakit yang lebih berat melainkan penyakit di hati.

Untuk mengubat penyakit sebegini mengikut orang asing itu, hendaklah si Dayang mencerita segala-galanya apa yang diterbuku. Ibarat seorang berbaringan dengan seorang yang dicintai tanpa berpakaian mendedahkan segalanya (sebagai tanda hati yang tenang). Orang asing itu berpendapat hanya dengan mengetahui kisah sebenarnya disebalik penyakit hati ini, barulah dapat diubati penyakit si Dayang. Beliau meminta izin dari si Raja hanya beliau seorang yang boleh berada ketika sesi rawatan dilakukan. Semua yang berada istana harus keluar dan meninggal beliau berdua dengan si Dayang. Setelah semua mengosongkan istana, orang asing itu memulakan rawatannya. Dia tahu si Dayang tidak menceritakan perkara yang sebenar kerana meragui dan sangsi akan tujuan dan hasrat orang asing itu, apatah lagi ia melakukan rawatan atas perintah si Raja. Untuk membina kepercayaan, itukah sebab mengapa istana dikosongkan. Namun orang asing itu sedar, ia harus bertindak secara halus bagi membina kepercayaan dan keselesaan si Dayang. Oleh itu dia hanya meminta si Dayang menceritakan tempat asalnya dan tempat-tempat dia pernah pergi. Tanpa pengetahuan  si Dayang, orang asing itu turut memeriksa nadinya semasa dia bercerita.
"Ibarat seekor keldai yang tertusuk duri diekornya melompat-lompat tidak dapat mencabut duri tersebut melainkan oleh orang yang ahli, maka begitulah pedih di hati hanya orang mahir dan pakar sahaja yang boleh mengesannya". 
Mulanya nadi Dayang tidak menunjukkan apa-apa melainkan apabila disebut suatu tempat didapati nadinya berdenyut cepat. Di saat itu diketahui oleh orang asing ini masalahnya. Lalu disiasat olehnya secara lebih terperinci tempat itu seperti nama kampung dan lorong jalanan tempat itu serta siapa yang menetap di situ termasuk apakah pekerjaan mereka. Akhirnya dsebut lorongnya dan nama orang yang dikenali iaitu seorang pandai emas. Apabila sampai sahaja disebut namanya maka nadi si Dayang berlompat dan wajahnya berubah menjadi merah dan pucat bersilih ganti. Maka inilah orang yang menjadi punca kepada membarahnya hati si Dayang. Orang asing tadi melarang si Dayang menceritakan perkara ini kepada Raja dan menyuruhnya menyimpan sahaja rahsia berkenaan. Namun beliau berjanji untuk menyelesai masalah yang dihadapi. Lantaran itu hati si Dayang menjadi tenang dan terobat dengan janji berkenaan.
"Ibarat hujan menyiram tanaman. Benih yang tersembunyi menyimpan rahsia terbenam di tanah di tanah akirnya bercambah menjadi tumbuhan dan rimbunan. Tiada siapa yang tahu asal tumbuhan itu dari benih yang tersembunyi tadi. Ibarat emas dan perak tertanam di tanah menjadi cemerlang selepas dilombong dan dilebur. Tiada siapa yang tahu semasa kedua-duanya tersembunyi tertmbus di bawah bumi"
Orang asing mengadap si Raja dan menyembahkan apa yang terjadi seraya mencadangkan agar si Pandai Emas yang menjadi punca sakitnya si Dayang dibawa ke istana. Mudah-mudahan dengan cara itu terubatlah penyakit Dayang. Namun cara membawanya hendaklah dengan cara tidak menimbulkan prasangka atau ketakutan. Kebiasaan masa lampau orang kebanyakan mengelak untuk datang ke istana, kerana khuatir menimbulkan masalah kepada mereka, melainkan dengan sebab-sebab yang mereka tahu dan jelas tujuannya. Maka untuk tujuan ini si Raja mengirim pembantunya yang bijak untuk menyakinkan si Tukang Emas hadir ke istana dengan lagak bahawa tiada tukang emas yang mahir melainkan beliau seorang. Apabila Tukang Emas itu sampai di istana maka ia disambut dengan mesra oleh si Raja dan disatukan dengan si Dayang. Mereka hidup dengan bahagia di istana, tidak mengetahui rancangan sulit orang asing dengan si Raja terhadap si Tukang Emas. Tujuannya untuk memulih kesihatan si Dayang yang kini sudah kembali seperti dahulu penuh dengan keceraian. Orang asing itu menyediakan bahan minuman kepada Tukang Emas yang mana apabila dia meminumnya menyebabkan dia jatuh sakit dan hilang ketampanannya. Bahagia atau gembira yang disangkanya itu sebenarnya membawa bencana kepadanya.
"Ibarat rusa kasturi yang berbangga dengan harumannya akhirnya mati kerana diambil harumannya, ibarat seekor musang yang berbangga dengan bulunya akhirnya mati diambil bulunya, ibarat seekor gajah berbangga dengan gadingnya akhirnya mati diambil gadingnya"    
Kesihatan tukang emas bertambah buruk dari hari kesehari dan dia menjadi putus harapan serta mudah terasa. Perkara ini menyebabkan si Dayang merasa kecewa dan perasaan kasih sayangnya kepada si Tukang Emas mula menumpul. Akhirnya apabila Tukang Emas itu meninggal dunia, tiada perasaan lagi di hati si Dayang kepadannya. Jika ada perasaan itu, maka ianya akan berlalu kerana perasaan kepada orang yang sudah mati berlalu bersama dengan kematiannya kerana si mati tidak akan kembali. Namun begitu cinta kepada orang yang masih hidup akan sentiasa segar bahkan lebih segar daripada kuntum bunga jasmani dan ruhaninya. Maka dengan itu mencintai sesuatu yang tidak akan mati adalah pilihan yang sebaik-baiknya. Cinta inilah yang memberi setiap Nabi dan Rasul kekuatan dan kejayaan.

Mungkin yang membaca kisah ini akan memikirkan betapa kejamnya Raja tadi dan betapa liciknya orang asing itu. Ianya satu pengajaran kepada kisah-kisah Khidir yang membunuh anak kecil, ditempelak dan dipersoal oleh Musa a.s. Namun ini adalah perintah ilahi, mana mungkin Khidir mengikarinya. Jika Khidir tidak membocorkan sampan orang miskin itu, maka sudah tentulah ramai yang akan kelaparan. Tindakan si Raja ini boleh dilihat dari sudut pandangan ini. Ibarat seorang anak di mata pisau cukur situkang gunting, namun ibunya gembira dengan mata pisau itu.

   

Monday, 17 December 2018

Lebih Banyak Kanak-Kanak Lelaki dari Perempuan di Malaysia

Jabatan Statistik Malaysia pada 30 November 2018 yang lalu mengeluarkan kenyataan jumlah oang di bawah 18 tahun di Malaysia adalah sebanyak 29% atau 9.4 juta daripada 32.4 juta penduduk. Bersalahan dengan kepercayaan umum, jumlah kanak-kanak lelaki adalah lebih ramai daripada perempuan. Sebanyak 4.85 juta kanak-kanak lelaki berbanding 4.55 juta perempuan. Jumlah lelaki juga lebih ramai bagi kanak-kanak di bawah 5 tahun yang berjumlah kesemuanya 2.6 juta di mana sebanyak 1.34 juta adalah lelaki berbanding perempuan sebanyak 1.26 juta. Begitu jumlah kelahiran pada tahun 2017 jumlah bayi lelaki adalah sebanyak 262,600 melebihi bayi perempuan yang berjumlah 246,000. Namun begitu jumlah remaja lelaki terlibat dengan jenayah adalah sebanyak 5,100 melebihi remaja perempuan sebanyak 300 sahaja. Ringkasan angka-angka ini adalah seperti di bawah:

   



Saturday, 3 November 2018

Contoh Peranan Ijma Dalam Menentukan Kesahihan Hadis

Terdapat hadis jika diperiksa dari sudut sanatnya dihukum sebagai lemah. Namun kelemahan ini tidak menjejaskan hadis berkenaan untuk diterima sebagai hujah di dalam penentuan hukum. Perkara ini dilakukan dengan menyatakan kandungan atau matan hadis tersebut adalah diterima sebagai benar dengan cara ijmak. Maksudnya teks hadis berkenaan adalah selaras dengan prinsip hukum Syarak. Di bawah ini adalah petikan dari Kitab al-Rawdah al-Nadiah Syarh al-Durar al-Bahiyyah oleh Hasan al-Qanuji (m.1255H.) halaman 4 yang menjelaskan peranan ijmak menjadikan hadis yang lemah dari segi sanadnya diterima sebagai sahih kerana isinya selaras dengan maksud yang difahami di dalam perbincangan fiqh. Di dalam teks di bawah hadis riwayat Imam Ahmad yang disahkan oleh sebahagian ulama-ulama Hadis dengan disokong oleh pelbagai riwayat hadis yang sama. Manakala dua hadis lain (iaitu dari hadis Thawban riwayat Darulqutni dan hadis Abu Umamah riwayat Ibn Majah dan Tabarani) yang membuat penambahan kepada matan yang terdapat di dalam hadis Imam Ahmad diterima dengan jalan ijmak bagi sesiapa yang menerima kehujahan ijmak. Manakala bagi mereka yang tidak menerima kehujahan ijmak maka ijmak berkenaan memberi menjelaskan makna hadis berkenaan. Penjelasan oleh pengarang ini amat penting kerana penerimaan kehujahan sesuatu hadis itu hendaklah dilihat bukan sahaja setakat kepada sanadnya, namun diperhatikan dan difahami dari aspek-aspek lain yang dibincangkan oleh para ulama sebagaimana di dalam teks di bawah. Perbincangan hadis-hadis berkenaan melibatkan sifat air iaitu bersih dan membersihkan.
 


Sunday, 7 October 2018

Ulasan artikel: Fazlur Rahman’s Islamic Methodology oleh Tamara Sonn (1991)


Ulasan artikel: Fazlur Rahman’s Islamic Methodology oleh Tamara Sonn (1991). The Moslem World LXXX1 (3-4): 212-230.
Artikel ini mengulas pemikiran seorang tokoh reformis Islam moden yang berasal dari Pakistan namun menetap di Amerika Syarikat sehingga akhir hayatnya. Beliau meninggalkan Pakistan kerana tekanan-tekanan politik dan keagamaan yang dikatakan boleh mengancam keselamatannya. Bagi beliau krisis umat Islam pada zaman moden dan slogan-slogan penyelesaian yang dicadangkan di bawah wadah persatuan Islam atau pan-Islamism untuk kembali bersatu melalui kaedah Islam hanyalah bersifat reaksi kepada cabaran atau gejala kolonialism yang banyak bertitik tolak kepada punca permasalahan sosio-politik dan ekonomi serta krisis identiti budaya masyarakat Islam. Sungguhpun Fazlur Rahman sering dimomokan sebagai pemikir Islam liberal yang cenderung kepada tamadun Barat, namun penulis berpendapat asas metodologi pemikiran dan penyelesaian Islam beliau berakarumbikan kepada Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Beliau percaya bahawa Islam adalah penyelesaian kepada krisis moral dan sosial dunia moden yang melibatkan juga ekonomi dan politik. Sungguhpun demikian beliau berpandangan penyelesaian berkenaan bukanlah mengikut kaedah tradisi Islam yang sedia ada. Mengikut beliau kaedah berkenaan perlu kepada rombakan dan semakan semula. Hanya selepas semakan kepada tradisi dan kefahaman Islam yang terdahulu selesai dilakukan dan ianya diterima oleh masyarakat Islam dan berkeupayaan sebagai asas pendidikan dalam kurikulum pengajian Islam, maka di saat itulah penyelesaian Islam berupaya untuk mengubah dan memperbaiki bukan sahaja permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam sendiri bahkan juga bencana serta kerosakan krisis moral dan nilai masyarakat dunia. Kekurangan metodologi Islam tradisi mengikut Fazlur Rahman adalah kerana tidak melihat semangat menyeluruh atau overall spirit al-Quran bagi memahami world view atau sudut pandangan ajaran Islam. Punca kegagalan ini adalah kerana kefahaman Syariah dan Akidah sebagai benar dan tepat dicapai melalui institusi mazhab dan ikutan kepada amalan masa lampau atau precedent melalui institusi hadis. Ikutan kepada hadis mengikut penulis tidak berasaskan kepada analisis rasional ketika menjustifikasikan sesuatu tafsiran terhadap kes tertentu (h.215). Kefahaman atau tafsiran ini diperoleh secara ikutan kepada apa yang dibentangkan oleh hadis berkenaan. Kaedah ini tidak banyak bezanya apa yang diamalkan oleh masyarakat Arab sebelum Islam dan gagal untuk melihat prinsip-prinsip universal yang terkandung di dalam al-Quran dan al-Hadis melalui analisis yang menyeluruh. Dalam hubungan ini penulis menyatakan Fazlur Rahman cuba membezakan antara hukum dan prinsip yang mana kriteria asasi sesuatu hukum yang dibentangkan oleh al-Quran dan al-Sunnah atau al-Hadis ialah mengikut konteks sejarah. Oleh yang demikian amatlah penting untuk menentukan aspek-aspek hukum yang bersifat sejarah daripada yang bersifat nilai dan prinsip sejagat atau universal values. Akibat daripada pendekatan yang bersifat penerimaan kepada apa yang dibentangkan oleh amalan lampau melalui hadis atau precedent, ajaran atau metodologi tradisi Islam tidak berjaya mengembangkan nilai ajaran Islam yang universal iaitu satu set prinsip-prinsip yang menjangkau tempat dan waktu serta boleh dijelaskan dan dilaksanakan dari satu generasi kepada generasi yang seterusnya (h.216). Natijahnya metodologi tradisi Islam tidak mempunyai prinsip-prinsip analatikal yang sistematik serta cenderung kepada anti-rasionalism dan bergantung kepada kefahaman yang berasaskan kepada hadis (217). Pandangan ini merupakan kritikan kepada tesis Imam Syafi‘i yang menegaskan peranan hadis di dalam perundangan dan akidah dan membataskan peranan akal hanya kepada sumber qiyas. Menyedari halangan teori perundangan ini beliau memetik pandangan dua ulama tradisi Islam bagi menguatkan hujahnya. Sebagai contoh Izz al-Din al-Sulami dikatakan menolak hukuman rejam (berasaskan kepada hadis) dan Ibn Taymiyyah menolak dakwaan ijma‘ (h.218). Untuk membolehkan prinsip-prinsip universal Islam dikemukakan bagi penyelesaian masalah semasa umat Islam beliau mencadangkan tiga langkah yang perlu diambil (hh.220-1):
(1) Mengenal pasti objektif dan ajaran moral al-Quran
(2) Membezakan hukum al-Quran yang bersifat kejadian sejarah (historical accident) atau yang beliau istilahkan sebagai description daripada prinsip universal atau prescription. Kaedah ini dikenali oleh sarjana barat sebagai kaedah historicism atau tarikhiyyah.
(3) Memahami konteks dan kehendak moden atau semasa.
Penulis menyatakan bahawa Fazlur Rahman tidak menafikan cadangan ini adalah satu bentuk inovasi bahkan juga satu penyimpangan (deviation) daripada ajaran tradisi Islam terutama prinsip ijma’. Namun inilah antara intipati ajaran Islam iaitu islah di mana terangkum dalamnya konsep inovasi. Oleh yang demikian inovasi merupakan satu contoh aplikasi sudut pandang Islam dalam penyelesaian masalah. Dengan menggunakan pendekatan kontekstual Fazlur Rahman menunjukkan bagaimana kefahaman terhadap nilai-nilai asasi ajaran al-Quran perlu difahami supaya dapat diaplikasikan tanpa batas waktu dan tempat melalui dua contoh iaitu keharusan berpoligami dan kelebihan lelaki ke atas wanita. Berbeza dengan cara kefahaman metodologi tradisi, Fazlur Rahman menegaskan bahawa di dalam contoh kelebihan lelaki ke atas wanita bukan bermaksud kelebihan yang bersifat inheren, namun ia lebih bersifat funsional (h.222). Fahaman ini disimpulkan melalui pendekatan persejarahan dan kontekstual di mana masyarakat pada masakini ada berbeza dari dahulu. Jika difahamkan maksud al-Quran sebegini maka Syariah Islam akan bersesuaian dengan mana-mana keadaan sekalipun. Perubahan sebegini mengikut Fazlur Rahman lagi disokong oleh prinsip nasakh di dalam al-Quran sendiri yang mengakui perubahan masa dan keadaan. Dengan mengambil ayat yang menyentuh tentang jihad, beliau menegaskan ianya satu contoh dinamisme dan kontekstualiti al-Quran (marhaliyyah) (h.223). Begitu juga amalan ijtihad di awal Islam adalah contoh kontekstualiti berlaku bagi mencari kebenaran universaliti Islam. Hanya selepas berlakunya perubahan dalam metodologi ini baharulah penyelesaian secara Islam dapat dilaksanakan dengan tepat sebagai alternatif kepada kaedah dan kefahaman pelaksanaan hukum Islam secara tradisi dalam bentuk reaksi kepada tamadun barat.

Saturday, 6 October 2018

Larangan Syarak

Larangan Syarak

Berdasarkan poster yang tertampal di Surau Airport Qatar. Mungkin ada di antara larangan ini perlu diperhalusi. Tulisan berwarna biru di dalam bentuk point itu adalah ulasan dari saya. Ulasan ini saya akan update dari masa ke semasa.

1. Melakukan kezaliman (zulm) 
  • Kezaliman ini dalam banyak bentuk dan keadaan. Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa Syirik itu adalah kezaliman yang besar. Ia juga boleh dalam bentuk penganiayaan kepada hak-hak seseorang sebagaimana dalam hadis bermaksud doa orang yang dizalimi itu tiada hijab. Seterusnya dalam bentuk manipulasi ekonomi iaitu larangan riba yang bermaksud "... supaya kamu tidak menzalimi atau dizalimi (melalui riba ini)".
2. Bersifat takabur

  • Merasa semua kejayaan atau kekayaan dengan usaha sendiri. Sifat ini dikeji oleh agama kerana menafikan kekuasaan Allah swt. Apabila ini berlaku sudah tentulah tidak ada sifat syukur kepada Allah swt yang menjadi perhiasan seorang Muslim, apatahlagi bersyukur dan berterima kasih kepada manusia. Begitu juga sudah tentulah tidak ada perasaan tawadu' atau rendah diri (humble) yang menjadi mahkota orang beriman. Di dalam al-Quran orang-orang yang digambarkan takabbur ini seperti firaun dan qarun. Begitu juga digambarkan orang Musyrikin Mekah dan orang Yahudi sebagai takabbur kerana menolak kebenaran risalah Nabi Muhammad s.a.w.   
3. Bersifat riya’
  • Sifat ini adalah berlawanan dengan ikhlas iaitu melakukan sesuatu tanpa mengharap apa-apa balasan kecuali pahala dan keredaan daripada Allah swt. Sifat ikhlas adalah permata bagi orang beriman, manakala riya' itu akan membinasakan ikhlas. al-Quran mengambarkan sifat riya' ini sebagai karekter hina orang Munafiq, yang hanya melakukan solat untuk menunjuk-nunjuk. Oleh yang demikian riya' di dalam praktisnya yang ekstrem adalah sifat orang munafik. Namun ia juga boleh terjadi kepada orang Islam yang lemah imannya.    
4. al-Baghy
  • Merupakan sebahagian daripada sifat yang tercela. Ia mempunyai pelbagai penjelasan mengikut konteks kelakuan berkenaan dari segi bahasa. Namun begitu secara umumnya ia adalah perbuatan melampau batas yang bertujuan jahat/munkar atau mempunyai akibat negatif baik samada kepada pelakunya atau masyarakat. Di dalam al-Quran ia digambarkan sebagai kezaliman satu bentuk kezaliman dan maksiat seperti zina. Ia juga digambarkan sebagai perbuatan meminta-meminta sesuatu yang ia tidak layak, seperti menjadi pemimpin sedangkan ia tidak amanah dan jujur serta seorang yang fasiq iaitu yang melakukan dosa besar dan melazimi dosa kecil. Dalam konteks hukum fiqh al-Baghy digambarkan sebagai seorang pemberontak kepada kerajaan yang adil.    
5. Mengungkit pemberian (al-Mann bi al-Atiyyah)

  • Ini juga ada kaitan dengan sifat ikhlas. Ia merupakan sifat tercela dan al-Quran melarangnya apabila sesuatu pemberian itu diikuti dengan kata-kata menghina. al-Hadis juga mencela perbuatan ini dan mengambarkannya seperti anjing yang menjilat muntahnya. Oleh itu ia adalah perbuatan yang tercela lagi menjijikan.

6. Berburuk sangka

  • Seseorang yang beriman itu akan sentiasa tabah menerima sebarang ujian daripada Allah. Gambaran golongan yang berburuk sangka dengan perancangan Allah swt diceritakan di dalam al-Quran melalui kisah kaum Israel yang meminta dari Nabi Musa supaya Allah swt menurunkan makanan dari langit. Begitu juga orang Islam dilarang berburuk sangka dengan orang Islam yang lain melalui larangan meninggalkan zan atau perasaan was-was kepada saudara Muslim.  


7. Bergembira atau ketawa dengan musibah orang lain (Shamatah)
8. Berbisik di hadapan saudara (Tanaji)
9. Mencerca orang Islam (Sabb)
10. Mencerca angin (Sabb al-Rih)
11. Mencerca jenazah (Sabb al-Amwat)
12. Bercakap kasar atau bercakap terangan2 perkara yang buruk (Baza’ah al-Lisan)
13. Menyakiti orang saleh (Idha’ al-Salihin)
14. Meninggalkan saudara lebih dari tiga hari
15. Mengintip (Tajassus)
16. Berdendam (Hasad)
17. Menipu (Ghush)
18. Melihat wanita ajnabiah (al-Nazar li Mar’ah al-Ajnabiyyah)
19. Menyerupai lelaki atau wanita (Tasyabbuh)
20. Isteri enggan bersama suami
21. Berjalan dihadapan orang sedang solat
22. Memakai emas bagi lelaki
23. Memakai sutera bagi lelaki
24. Mewarnakan rambut dan bertatto
25. Menceritakan kecantikan wanita kecuali untuk tujuan perkahwinan (wasf mahasin al-mar’ah)
26. Memukul wajah kerana meratap (darb al-khadud)
27. Wanita bermusafir bersendirian
28. Wanita berpuasa tanpa izin suaminya
29. Makmun mendahului imam
30. Mengangkat pandangan ketika solat
31. Meninggalkan solat
32. Duduk di atas kuburan
33. Solat menghadap kuburan
34. Riba
35. Minum dengan bekas daripada perak
36. Makan dengan menggunakan tangan kiri
37. Bergambar
38. Anggapan nasib buruk dengan kejadian2 tertentu (tasya’um atau tatir)
39. Anggapan peristiwa peredaran bintang mempunyai kaitan dengan sesuatu kejadian (Mutirna binaw’)
40. Perbuatan bid’ah
41. Berjumpa tukang tilik
42. Berbinkan kepada seseorang yang bukan bapanya
43. Memberi syufaat kepada pesalah hudud
44. Menyiksa dengan api
45. Taat dalam perkara maksiat
46. Menyiksa hamba
47. Menyiksa binatang

Friday, 28 September 2018

Ulasan Buku: Kim Beng Phar (2009). Islamic Statehood and Maqasid al-Shariah in Malaysia

Ulasan Buku: Kim Beng Phar (2009). Islamic Statehood and Maqasid al-Shariah in Malaysia: A Zero-Sum Game?. Chiang Mai Thailand: Silkworm Books (copyright by Asian Muslim Action Network 2009) 64 halaman dengan bibiografi. 

Penulis buku kecil ini mendakwa pendekatan Islam yang diambil oleh samada pihak Kerajaan (UMNO-BN ketika itu) mahupun pembangkang (PAS) adalah bersifat reductionism yang melihat undang-undang Syariah secara binari yakni antara halal dan haram, putih dan hitam. Proses Islamisasi yang cuba dibawa oleh kedua-dua pihak terlihat kepada percubaan pelaksanaan apa yang diistilahkan sebagai “moral polizing” yang memberi kesan kepada kebebasan individu seperti kebebasan untuk memilih agama (freedom of religious choice) dan pengenalan undang-undang hudud. Pendekatan Islamisasi yang cuba diperkenalkan adalah bersifat punitif dan patriakal (h.5). Begitu juga ia bersifat responsif di kedua-dua pihak dalam konteks politik Islam antarabangsa terutama isu-isu yang melibatkan Palestin, Bosnia dan Mynmar di mana sensitiviti kepada isu ini ditunjukkan melalui publisiti media dan lain-lain tindakan sivil. Pendekatan Islam secara binari ini mengikut penulis mewujudkan suasana zero-sum game bagi pelaksanaan undang-undang Islam bukan sahaja di Malaysia bahkan juga di seluruh dunia Islam. Mengikut penulis, asas ideologi pendekatan sebegini dipetik dari penulisan dan pemikiran tiga orang aktivis gerakan Islam terutama gerakan Ikhwan iaitu Maududi, Sayyid Qutb dan Qaradawi (MSQ) melalui doktrin dawlah Islamiah atau Islamic state yang dibina daripada prinsip al-Quran al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘an al-Munkar (AMNM). Pemikiran konsep AMNM mengikut penulis dikembangkan oleh MSQ secara atomis dan dominan sehingga melupakan atau meminggirkan konsep-konsep utama Syariah yang lain seperti nasihah, syura, ikhtilaf, ijtihad dan hisbah (h.9). Bagi memperkukuhkan maksud konsep ini seperti yang dikehendaki dalam kerangka doktrin dawlah Islamiah, sandaran dibuat kepada pemikiran ulama tradisi Islam, Ibn Taymiyyah, yang menulis tentang kepentingan menegakkan hukum Islam melalui pemerintahan Islam atau siyasah. Pengembangan dan penerimaan pemikiran ini yang bersifat reductionist ini akhirnya menyebabkan proses Islamisasi yang cuba dibawa oleh kedua-dua parti politik terbesar orang-orang Melayu UMNO dan PAS terfokus hanya kepada soal-soal jenayah Islam dan pemantauan perlakuan moral masyarakat Islam. Bagi penulis konsep yang kembangkan oleh MSQ tidak semestinya mewakili ajaran Islam atau Shariah. Sebagai contoh maksud asal AMNM pada zaman awal Islam sebenarnya terhad kepada makna akidah, ia hanya diperluaskan kepada perkara-perkara halal dan haram buat pertama kali kemudiaannya oleh Tabari (h.7). Pun begitu jika diterima maksud berkenaan sebagai halal dan haram terdapat pelbagai perbincangan di kalangan ilmuan Islam bagaimana untuk melaksanakannya dan tidak terhad hanya melalui kekuasaan politik (h.6-7). Mengikut penulis harmonisasi antara konsep AMNM dan realiti penghidupan dilakukan oleh Imam Ghazali melalui pengenalan prinsip al-daruriyyah al-khamsah yang juga dikenali dengan Maqasid Syari’yyah. Bagi Imam Ghazali pelaksanaan Syariah di dalam masyarakat mestilah menimbangkan kepada keperluan-keperluan daruriyyah dan tidak hanya melihat secara hitam putih atau simplistik (p.15). Penerimaan ideologi atau pendekatan MSQ terutama konsep dawlah Islamiah bermula dari premis iaitu hanya pemerintahan Islam boleh dan berupaya untuk melindungi dan menyokong ajaran dan masyarakat Islam. Fenomena ini di Malaysia turut dibantu oleh kehilangan dua tokoh reformasi perundangan Islam Malaysia yang cuba untuk memperkenalkan Syariah secara harmonis atau maqasidi iaitu Profesor Ahmad Ibrahim yang meninggal dunia pada tahun 1999 dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan pada tahun 1997. Kontroversi yang timbul daripada cadangan pelaksanaan undang-undang Islam di Malaysia yang hanya menumpukan kepada hudud dan polis sosial adalah kesan dan akibat pendekatan binari ini yang dimomokkan melalui doktrin dawlah islamiah. Bagi penulis sebarang percubaan untuk melakukan reformasi perundangan yang tidak menilai suasana negara dan masyarakat secara holistik dan maqasidi atau yang cuba untuk memesongkan semangat sebenar ajaran Islam akan berhadapan dengan penentangan sosial (h.41). Contoh jelas yang diberikan oleh penulis ialah penentangan masyarakat terhadap cengkaman pemerintahan Taliban di Afghanistan yang cuba untuk mengaplikasikan doktrin ini. Oleh itu penulis menyimpulkan bahawa percubaan PAS dan dalam beberapa sudut juga UMNO, untuk memperkenalkan negara Islam adalah satu bentuk inversi (inversion) kepada ajaran Islam dan ini adalah satu keadaan yang dikenali oleh ahli falsafah pengajian politik sebagai “extreme perfectionism” (h.48).

Image result for Islamic Statehood and Maqasid al-Shariah in Malaysia: A Zero-Sum Game?

Ulasan Buku: Ensiklopedia Perawatan Islam oleh Dr. Hj Abdullah Yusof Al-Kemachi (Puchong: MHCS Sercives, 2026).

Ulasan Buku: Ensiklopedia Perawatan Islam oleh Dr. Hj Abdullah Yusof Al-Kemachi (Puchong: MHCS Sercives, 2026, kulit nipis, 544 halaman). ...