Sunday 10 February 2013

Ulasan Buku "Albani and His Friends"




Gibril Fouad Haddad (2009), Albani and His Friends: A Concise Guide to the Salafi Movement, 2nd Edition (Revised and Expanded) (First Published in 2003), Birmingham: AQSA Publication. 248 pages, ISBN 978-0-9547540-2-0.


Buku ini adalah respon aliran mazhab kepada beberapa dasar fahaman salafi/wahabi yang difokuskan kepada beberapa ikon aliran berkenaan. Yang dimaksudkan aliran mazhab di sini ialah mazhab yang empat termasuk pegangan mereka dalam perkara akidah yang berasaskan kepada aliran Ash’ariyyah dan Maturidiyyah serta aliran Tasauf.  Albani dipilih oleh penulis sebagai tajuk buku ini kerana pengaruhnya sebagai ideologue moden dalam aliran salafi/wahabi terutama kesan pemikirannya kepada pengajian ilmu hadis. Sungguhpun penulis menyenaraikan 21 tokoh aliran ini termasuk Albani sendiri, namun perbincangan nampaknya tertumpu kepada enam tokoh iaitu Abd Aziz bin Baz (bekas Mufti Arab Saudi), Abu Bakr al-Jaza’iri, Muhammad al-Khumayyis, Muhammad Salih al-Uthaymin, Ihsan Ilahi Zahir dan Albani. Kesemua tokoh-tokoh ini dari Timur Tengah melainkan Ihsan Zahir dari Pakistan yang terbunuh pada bulan Mac 1987 dalam satu letupan bom. Sungguhpun tajuk buku ini mengenai rakan-rakan seperjuangan Albani sangat sedikit penerangan yang diberikan mengenai latar belakang mereka termasuk Albani. Perbincangan penulis banyak tertumpu kepada apakah pandangan dan pegangan golongan ini yang dianggap bercanggah dan bertentangan dengan fahaman mazhab. Malah pendahuluan buku ini menjelaskan maksud perkataan Salaf dan siapakah yang dikatakan sebagai Salafi. Mengikut penulis golongan Salaf ialah mereka yang hidup di period awal Islam yang termasuk di dalamnya imam-imam Mazhab yang empat sehingga ketahun 400 Hijrah (h.14). Masyarakat Islam yang hidup selepas zaman ini dianggap sebagai golongan khalaf atau muta’akhkhirun. Penjelasan ini adalah untuk menolak dakwaan golongan salafi/wahabi yang penulis sifatkan sebagai satu bentuk pseudo-salafiyya (atau mungkin dapat diterjemahkan dengan salafiyah kazibah). Isi kandungan atau perbincangan buku ini adalah tidak tersusun dalam ertikata terdapat beberapa topik yang diulang-ulang di sana sini namun dengan penjelasan yang berbeza. Tokoh yang paling banyak mendapat perhatian penulis adalah Ibn Baz iaitu sebanyak 72 halaman (hampir satu pertiga daripada buku ini). Ini tidak mengherankan kerana Ibn Baz dianggap sebagai spiritual leader salafi/wahabi masa moden kerana kedudukannya sebagai Mufti Arab Saudi yang berpengaruh dari segi kedudukan politik dan kewangan. Perbincangan kritikan atau kutukan (atau dalam keadaan tertentu takfir) salafi/wahabi terhadap aliran mazhab boleh dibahagikan kepada empat yang utama iaitu akidah, amalan, tradisi pengajian dan perbezaan fiqh. Perbezaan utama akidah salafi/wahabi yang dianggap menyeleweng oleh aliran mazhab ialah pegangan terhadap pendekatan tajassum/mujassimah atau anthropomorphism di dalam perbincangan sifat-sifat Allah. Perkara ini bukanlah perkara baru dalam perbincangan akidah secara ilmu kalam dalam tradisi keilmuan Islam, namun ianya melebar kerana propaganda golongan salafi/wahabi melalui gerakan keagamaan dalam bentuk bantuan kewangan kepada institusi pendidikan atau tokoh-tokoh tempatan yang menyokong idealism salafi/wahabi dan juga melalui penyebaran bahan bacaan secara percuma yang mencabar kedudukan dan pegangan aliran mazhab di kebanyakan negara dan masyarakat Islam. Sebagai contoh golongan salafi/wahabi telah menghidupkan semula serta mengedarkan secara percuma penulisan Ibn Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim yang telah ditolak oleh ulama aliran Ash’ariyyah seperti Fatwa Hamawiyya dan al-Qasidah al-Nuniyyah (h.92-93). Pengerakan salafi/wahabi juga turut menyentuh amalan-amalan keagamaan mazhab yang dilabel sebagai bid‘ah atas alasan yang mudah iaitu ianya tidak wujud di zaman Rasulullah s.a.w. Barangkali mungkin benar ada di antara amalan itu yang bertentangan dengan nas-nas al-Quran atau al-Sunnah, namun justifikasi kritikan dan pemerangannya itu adalah keras dan radikal. Penulis buku ini membawa beberapa contoh kritikan tersebut seperti (1) dakwaan bahawa sambutan mawlid dan (2) berdiri di hadapan makam Rasulullah s.a.w. dengan memberi salam dan berdoa sebagai bid‘ah, (h.41). Bahkan terdapat kenyataan-kenyataan yang menghiris dikeluarkan seperti oleh Abu Bakar al-Jaza’iri bahawa “daging yang disembelih sempena perayaan mawlid itu terlebih haram daripada daging babi” (h.133) dan bapa serta ibu kepada Rasulullah berada di dalam neraka (h.131). Sebagai respon kepada kritikan ini penulis telah memberi jawapan dengan merujuk kepada penjelasan Imam Syafi‘i mengenai bid‘ah kepada mahmudah dan mazmumah (h.235). Kritikan ini juga berbentuk kecaman dan penghinaan seperti desakan supaya makam Rasulullah diubah keluar dari masjid dan kubah hijau masjid Nabi dirobohkan serta kenyataan bahawa umat Palestin seharusnya keluar daripada Palestin dan biarkan sahaja ianya ditawan oleh Israel sebagai sebuah negara kafir. Kenyataan sebegini bukan sahaja menghiris umat Islam di tempat dan negara lain bahkan juga di Arab Saudi yang mana akhirnya Raja Faisal memerintahkan Albani dikeluarkan daripada Madinah. Beliau selepas itu menetap di Amman Jordan dan meninggal dunia di sana pada bulan Oktober 1999. 

Sheikh Albani
Golongan salafi/wahabi, terutama melalui Albani juga dilihat cuba untuk membentuk pemikiran baru dalam tradisi pengajian Islam dengan menolak mazhab terutama mazhab Hanafi yang dikatakan dicemarkan oleh pemikiran falsafah golongan Ash’ari dan muktazilah. Oleh yang demikian mereka menolak Usul al-Fiqh kecuali al-Risalah oleh al-Shafi‘i, al-Ihkam oleh Ibn Hazm dan al-Muwafaqat oleh Shatibi (h.55). Asas rujukan fiqh bagi mereka adalah al-Quran dan al-Sunnah yang harus diambil tanpa pengaruh fahaman mazhab. Bahkan mereka memperkecil dan menghina mazhab dengan kata-kata al-tawaghit al-arba’ah dan mengelar Imam Abu Hanifah sebagai ulama awwam (h.54-55). Sebagai gantinya mereka menabal Albani sebagai pakar ulung dalam bidang hadith dan meletakkannya pada taraf yang sama dengan Imam al-Awza‘i serta Imam-imam Mazhab yang empat (h.173). Perbezaan dalam kaedah pemahaman nas-nas Syarak ini akan menyebabkan timbulnya perbezaan pada amalan fiqh yang selama ini diamalkan oleh umat Islam yang lain seperti lafaz niat dalam sembahyang, menyapu muka selepas berdoa, membaca qunut pada waktu solat fajar, membaca al-Quran atau doa kepada simati, amalan menziarahi keluarga dan sahabat handai pada hari raya dan pelbagai lagi. Perkara ini adalah masalah cabang yang mungkin tidak menimbulkan persoalan, namun golongan salafi/wahabi atas alasan puritanism mereka mencerca amalan-amalan ini sebagai bid‘ah dan bertentangan dengan sunnah. Tidak memadai dengan itu mereka juga melabel golongan yang tidak bersama mereka sebagai sesat dan kadang-kadang kafir seperti mereka menuduh golongan tasauf sebagai mengikut fahaman yahudi, zoroastrinism dan dualism. Bahkan mereka menuduh al-Qastallani, seorang Imam Muhadithin pensyarah Kitab Sahih Bukhari sebagai seorang ektremis yang gemar kepada kubur (h.164). Begitu juga perbuatan Albani dengan membahagikan al-Jami‘ Tirmidhi kepada dua iaitu Sahih Tirmidhi dan Da’if Tirmidhi di mana semua ulama Hadith masa kini menganggapnya sebagai satu bentuk penghinaan kepada Imam Tirmidhi (81). Kesimpulannya buku ini cuba untuk mendedahkan beberapa dakwaan/tuduhan serta cercaan golongan salafi/wahabi yang dikepalai oleh Albani terhadap aliran mazhab dan apakah respon kepada dakwaan dan tuduhan itu. Penulis buku ini berasal dari Lubnan dan memeluk agama Islam semasa melanjut pengajiannya di Universiti of Columbia New York. 


Sheikh Gibril Fouad Haddad


3 comments:

  1. Salam,
    diatas cuma merupakan ulasan tuan berkaitan dengan buku tersebut...Pada pndangn tuan adakah segala tohmahan yang dilemparkan oleh penulis buku ini benar?kerna disisi satu pihak lagi(Salafi/Wahabi)bermatian dalam menegakkan pihak mereka...mgkin tuan blh memberi penjelasan berkaitan isu ini?? kerna ianya terpalit juga isu akidah disini

    ReplyDelete
  2. Salam,

    Terima kasih kerana sudi membaca ulasan saya. Untuk memastikan samada apa yang dikatakan oleh penulis buku ini benar atau tidak perlulah dibuat kajian lanjut dengan merujuk bahan-bahan yang ditulis oleh kalangan Salafi. Mungkin ada orang melihat daripada persepktif yang berbeza dan itu perkara biasa dalam dunia akademik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. salam,
      terima kasih ats respon yg tuan berikan kepada saya,sungguh bermakna dan menunjukkan tuan berada diatas landasan akademik yg sebenar dgn mngenepikan ketaksuban dalam penulisan..tahniah...saya ingin mendapat nasihat dan tunjuk ajar dari tuan, bagaimana saya sebagai orang awam ini ingin menentukan sesuatu itu berada dalam landasan kebenaran ini kerana kbenaran itu 1 dan tiada berbilang2?! terutamanya dalam isu berkaitan usul(aqidah).

      Delete

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...