Wednesday 6 February 2013

Ulasan Buku "Islamic Banking and Finance"


Munawar Iqbal (ed.) (2001), Islamic Banking and Finance: Current Developments in Theory and Practice, Leicester, UK: Islamic Foundation. 449 halaman termasuk indeks.

Buku ini berasal daripada tajuk-tajuk kertas kerja terpilih seminar yang dibentangkan di Fourth International Conference on Islamic Economics and Banking di Universiti Loughborough, UK pada tahun 2001. Mungkin ulasan buku ini sudah terlewat memandangkan ianya sudah diterbitkan 11 tahun yang lalu. Namun apa yang menarik ialah isu-isu yang dibentangkan telah menjadi realiti pada masa kini. Sebagai contoh ialah cadangan penulis supaya ditubuhkan sebuah badan antarabangsa bagi tujuan regulasi dan penyeliaan badan-badan kewangan Islam telah ditubuhkan pada tahun 2002 melalui IFSB. Perbincangan buku ini dibahagikan kepada tiga iaitu (1) perkembangan terkini teori perbankan dan ekonomi Islam, (2) verifikasi teori melalui survei dan (3) amalan perbankan dan kewangan Islam.  Ketiga-tiga bahagian ini dibincangkan dalam 19 bab yang ditulis oleh pakar-pakar dan pengamal kewangan dan perbankan Islam. Kebanyakan daripada mereka (bahkan keseluruhan mereka) terdiri daripada ahli-ahli ekonomi dan kewangan moden yang mendapat pendedahan mengenai sistem muamalat Islam. Editor buku ini dalam pendahuluannya membawa ringkasan latarbelakang senario perbankan dan kewangan Islam dengan memaparkan pengalaman negara-negara Islam seperti Pakistan, Iran, Sudan dan Malaysia. Sungguhpun ketiga-tiga negara-negara yang pertama ini mendapat sokongan pemerintah dan terdapat perubahan perundangan dan kehakiman dalam sistem kewangan dan perbankan Islam mereka, namun perkembangan terkini menunjukkan Malaysia lebih berdaya maju.  Dari segi perkembangan teori terkini perkara yang dibincangkan meliputi larangan gharar dalam aktiviti perbankan dan kewangan, persoalan moral hazard atau bahaya moral, penggalakan penggunaan kontrak perkongsian untung dan persoalan pasaran saham. Kebanyakan isu-isu ini sudah selesai atau sudah menjadi perkara akademik. Sebagai contoh perdebatan mengenai keharusan pasaran saham. Manakala dari segi survei yang dilakukan bagi mengesah teori banyak memberi tekanan kepada persoalan kontrak perkongsian untung rugi. Perbincangan mengenai amalan perbankan dan kewangan Islam adalah pelbagai namun terdapat kecenderungan untuk membuat pembandingan dengan perbankan dan kewangan konvensional dari segi perkembangan dan saiz. Isu-isu ini diringkaskan oleh editor di bahagian pendahuluan buku ini di mana beliau menyatakan dari segi teori terdapat lima perkara yang perlu dikaji dan diperdebatkan iaitu (1) penyertaan perbankan dan kewangan Islam dalam pasaran ekuiti, (2) isu peminjam yang munkir dan penalti kewangan, (3) pengindeksan, (4) kejuruteraan kewangan dan (5) pengurusan risiko dalam tujuh aspek iaitu: akad murabahah, akad salam, akad istisna‘, penggunaan LIBOR, keuntungan bayaran akad mudarabah, penggunaan hedging dan persoalan risiko kecairan kerana kekurangan instrument kewangan dan pergantungan kepada akaun deposit. Isu-isu ini kebanyakannya sudah selesai dijawab dan di atasi. Begitu juga editor meringkaskan beberapa cabaran yang menyentuh operasi perbankan dan kewangan Islam juga kepada lima perkara iaitu: (1) penubuhan institusi kewangan dan perbankan Islam mega di peringkat antarabangsa, (2) pengukuhan dari segi regulasi, pengawasan dan penyeliaan, (3) penubuhan pasaran wang Islam, (4) kerangka tadbir urus yang lebih telus dan mantap dan (5) meningkatkan lagi penggunaan mode perkongsian untung rugi. Sebagaimana di teori kebanyakan isu ini sudah diselesaikan. Namun begitu persoalan perkongsian mode untung rugi masih belum dirungkai sepenuhnya iaitu perkembangan yang berlaku ialah daripada penggunaan akad murabahah telah bertukar kepada ijarah dantawarruq. Dalam konteks Malaysia penggunaan Bay‘ al-‘Inah yang kontroversi itu sudah dilumpuhkan dengan arahan terbaru Bank Negara Malaysia supaya semua bentuk komunikasi atau conditionality yang memaklumkan syarat ‘inah mesti dielakkan. - (boring kan ulasan ini!) 

No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...