Wednesday 9 January 2013

Kematian Muamar Ghadafi dan Syariah*


*Artikel ini ditulis pada November 2011

© Ahmad Hidayat Buang 2011 

Peristiwa terbunuhnya bekas pemimpin Libya Kolonel Muamar Ghadafi bersama anak dan bekas menterinya mengundang pelbagai spekulasi. Bagi ramai orang, terutama rakyat Libya dan pihak Barat apa yang penting sekarang ini ialah Ghadafi yang dikatakan seorang diktator yang kejam kepada rakyatnya sendiri telah berjaya dihapuskan. Ini sekaligus menamatkan episode lama dan bermulanya era baru Libya yang bebas dan demokratik. Sungguhpun terdapat gesaan pihak tertentu untuk menyiasat bagaimana Ghadafi terbunuh, namun perkara ini nampaknya bukan satu keutamaan buat masa kini. Kata orang, penawar atau ubat kepada sesuatu yang trajik adalah masa. Oleh yang demikian kejadian ini akan hanya dibincangkan apabila keadaan sudah tenang, emosi sudah pudar, perasaan marah sudah hilang dari ingatan. Apatahlagi di Libya pada saat ini, untuk dianggap sebagai simpatisan kepada Ghadafi boleh membahayakan diri dan keluarga. Tujuan saya bukanlah untuk menyokong kezaliman yang dikatakan dilakukan oleh Ghadafi, tetapi untuk menjelaskan beberapa perkara yang berkaitan hukum Islam yang mungkin boleh dilihat dari perspektif yang bebas dari emosi dan sentimen. Perkara ini penting kerana beberapa fatwa yang dikeluarkan oleh beberapa pihak menyatakan pembunuhan Ghadafi, sebagaimana yang dipaparkan di dada media atau internet, adalah sesuatu yang halal boleh menimbulkan salah tanggapan kepada ajaran Islam.

Tidak syak lagi Islam membenarkan peperangan bagi tujuan mempertahankan diri dan membela agama daripada penindasan. Atas dasar ini, bagi mempertahankan harta, diri dan keluarga serta amalan agama, apatah lagi setelah berlakunya kezaliman menyebabkan sesetengah ulama membenarkan tindakan balas dalam bentuk kekerasan. Sungguhpun demikian, terdapat pandangan ulama sunni yang tidak membenarkan tindakan menentang pemerintah Islam walaupun mereka itu kejam, selagimana syiar-syiar dan rukun-rukun Islam boleh terus diamalkan tanpa halangan. Perkara ini jelas dalam sejarah umat Islam di mana majoriti ulama, termasuk semua ulama pendiri mazhab yang empat mengambil sikap berkecuali dalam politik dan pemerintahan Khalifah Umayyah dan Abasiah. Namun ini tidaklah bermakna ulama-ulama berkenaan berdiam diri. Apa yang berlaku ialah mereka memberi nasihat dan teguran kepada pemerintah supaya kembali kepada ajaran Islam sebagaimana Imam Malik yang memberi teguran kepada Khalifah Abasiah terhadap lafaz taat setia atau bay‘ah yang dibuat secara paksa.

Walaupun apa hujah yang diberi, jika kita menerima sekalipun keharusan melakukan tindakan kekerasan yang termasuk antaranya pembunuhan nyawa manusia Muslim yang lain, masih ada lagi peraturan-peraturan hukum Syarak dalam pertempuran atau peperangan yang perlu dipatuhi. Dalam hubungan ini adalah layanan terhadap tawanan perang. Al-Quran jelas memberi panduan terhadap pilihan yang boleh diambil oleh pihak pemerintah iaitu (1) dibebaskan, (2) diambil harta tebusan (sebagaimana yang berlaku dalam peperangan Badr) dan (3) dibunuh. Dalam perbincangan seterusnya melalui al-Sunnah selain daripada tiga yang di atas tawanan perang juga dijadikan hamba sebagai tindakan reciprocal amalan musuh Islam yang menjadikan tawanan Muslim sebagai hamba. Yang dimaksudkan dengan tawanan perang itu ialah apabila pertempuran telah selesai atau musuh menyerah diri. Apabila keadaan ini berlaku maka menjadi tanggungjawab pihak yang menang untuk melindungi tawanan perang serta menjamin hak mereka sebagai seorang manusia seperti makanan, pakaian dan sama sekali tidak boleh disiksa (apatah lagi dibunuh tanpa proses yang sah). Layanan secara baik ini bukan sahaja kepada yang masih hidup bahkan kepada yang sudah terbunuh, di mana Rasulullah s.a.w. melarang para sahabat melakukan perbuatan menghina mayat tentera kaum Quraisyh yang sebelum ini telah menghina secara kejam jenazah bapa saudara Nabi, Hamzah ibn Abdul Mutallib yang syahid dalam peperangan Uhud. Oleh itu apa yang diperlakukan kepada jenazah Ghadafi dan anaknya adalah sesuatu yang tidak menepati apa yang diajar oleh Baginda Rasulullah s.a.w. terutama sekali apabila jenazah Muslim.

Para ulama berpendapat apa-apa pilihan tindakan seperti di atas yang akan diambil oleh pemerintah kepada tawanan perang adalah berasaskan kepada maslahah dan kepentingan awam. Dalam sejarah Islam, tiga orang tawanan perang yang dijatuhkah hukuman bunuh oleh Baginda Rasullullah s.a.w. iaitu Nadir ibn al-Harith, Uqbah ibn Mu’ayt (kedua-duanya dalam peperangan Badr) dan Abu ‘Azzah al-Jumahi (dalam peperangan Uhud). Mengikut para pengkaji ketiga-ketiga mereka dijatuhkan hukuman bunuh kerana sikap mereka yang kejam dan zalim terhadap orang Islam di Mekah. Oleh itu mereka dibunuh kerana kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan. Dan ianya dilakukan selepas diperintah oleh Rasulullah s.a.w.. Peristiwa ini dijadikan satu kaedah dalam undang-undang jenayah Islam iaitu hukuman bunuh termasuk kepada tawanan perang mesti melalui kuasa pemerintah. Perkara ini juga selaras dengan Konvensyen Geneva 1949 dalam perkara peperangan. Berkemungkinan besar Ghadafi akan dijatuhkan hukuman bunuh sebagaimana yang dialami oleh Saddam Husein melalui proses perundangan. Namun berbeza dengan Ghadafi, Saddam ditawan oleh tentera Amerika. Jika tidak kemungkinan Saddam juga akan mengalami nasib yang sama. Dalam apa-apa keadaanpun pengajaran kepada kita ialah sesiapa yang melakukan perbuatan jenayah dan zalim lambat laun akan menerima hukuman juga samada secara sewajarnya mengikut lunas-lunas Syariah dan undang-undang atau sebaliknya.  

Rujukan

Ahmad al-Dawoody, The Islamic Law of War: Justifications and Regulations, New York: Palgrave Macmillan, 2011, hh.136-138.

Muhammad Abu Zahrah, al-Jarimah wa al-‘Uqubah fi al-Fiqh al-Islami, Kaherah: Dar al-Fikr al-‘Arabi, 1966. 

No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...