Sunday 22 November 2015

Siapa Sebenarnya Yang Mengorbankan Umat Islam

Kedatangan Presiden Obama ke Malaysia pada 20 November 2015 telah mengundang pelbagai komen. Pihak yang menerima kecaman akibat lawatan ini tidak lain tidak bukan adalah kerajaan Malaysia yang dituduh tunduk kepada kemahuan negara Amerika itu. Sebagai sebuah negara yang paling kuat di dunia, Amerika sudah tentu mempunyai pengaruh dalam pergolakan politik dunia khususnya di Timur Tengah dengan polisi yang tidak adil menyokong kekejaman Israel. Kebanyakan komen-komen yang dibuat secara mudahnya menyatakan peperangan dan kematian ribuan umat Islam di Timur Tengah dan juga di seluruh dunia adalah berpunca daripada polisi pentadbiran Amerika. Oleh itu sesiapa yang cuba berbaik-baik dengan Amerika akan dianggap pengkhianat dan bersongkokol dengan kejahatannya. Namun begitu, komen-komen ini tidak pula cuba untuk memberi jalan penyelesaian kepada penderitaan umat Islam, melainkan sikap konfrantasi terhadap negara-negara Barat dan sekutunya. Persoalannya apakah pendirian sebegini memberi kelebihan kepada umat Islam? Dan selanjutnya apakah ianya sesuatu yang selaras dengan ajaran Islam?





Sudah tentu bagi protagonis-protagonis anti barat akan beranggapan inilah suatu bentuk jihad dan umat Islam mestilah bersedia menggadaikan nyawa untuk tujuan itu. Dan bagi golongan umat Islam yang berpandangan sebaliknya akan dituduh sebagai tidak islamik dan mementingkan keduniaan semata-mata melebihi daripada berjuang untuk Islam, Masya Allah! Tidak dapat dinafikan bahawa Amerika dan dunia barat mempunyai agenda politik dan ekonomi tertentu bukan sahaja kepada umat Islam bahkan juga dunia. Ini dapat dilihat kepada ketegangan dan perlumbaan antara negara berkenaan dengan China dan Rusia.  Namun begitu pada pandangan saya sebahagian daripada masalah ini juga berpunca daripada sikap umat Islam sendiri. 

Dalam menilai tindakan yang wajar dilakukan terhadap dunia barat, kita perlu melihat kepada sirah Nabi Muhammad s.a.w. dan mengambil pengajaran atau ‘ibrah daripadanya. Jika mengikut kefahaman protagonist anti barat, sudah tentu tindakan yang perlu diambil oleh Rasulullah sewajarnya secara konfrantasi dan hostile dengan kafir Quraysh. Namun sikap yang diambil oleh Baginda adalah sebaliknya iaitu dengan bersabar dan menunggu peluang yang sesuai. Ini terserlah pada peristiwa perjanjian Hudaibiyyah, di mana kebanyakan para sahabat merasa tidak wajar Rasulullah s.a.w. dan umat Islam diperlakukan sedemikian rupa. Sudah tentulah Rasulullah s.a.w. mengambil keputusan berkenaan bukan kerana takut atau tidak mahu berjuang, namun Baginda mempertimbangkan kemaslahatan yang lebih besar iaitu survival umat Islam. Peperangan yang berlaku selepas Hijrah Nabi s.a.w. bukanlah bermakna tindakan taktikal yang berlaku ketika perjanjian Hudaybiyyah itu tidak lagi diperlukan. Bahkan ianya perlu diperhatikan dan dipratikkan terutama dalam suasana masa kini.

Keutamaan Baginda s.a.w. adalah sentiasa untuk memelihara nyawa umat Islam dan kelangsungan dakwah Islam serta pelaksanaan rukun-rukun Islam dan Iman.  Baginda melalui satu Hadis akan memilih jalan yang lebih mudah di antara dua jalan. Pendirian ini diteruskan oleh para ulama dan ahli bijak pandai Islam dalam menghadapi kekuasaan pemerintah yang dikatakan kejam dan zalim. Ini adalah kerana untuk memelihara kemaslahatan umat Islam, selagi mana rukun-rukun dan syiar Islam dapat dilaksanakan. Kita boleh memerhatikan perkara ini berlaku ketika kota Baghdad ditawan oleh kaum Tartar yang mana akhirnya di atas kesabaran yang ditunjukkan kaum berkenaan akhirnya memeluk Islam. Namun begitu, akibat terpengaruh dengan elemen-elemen ekstrem, sikap dan pendirian sebegini dikatakan sebagai bercanggah dengan konsep amar makruf dan nahi munkar yang dinyatakan di dalam al-Quran. Namun begitu, mereka terlupa bahawa seruan nahi munkar jika mengikut hadis adalah mengikut kemampuan. Sikap ekstrem ini bukanlah perkara baru dalam sejarah Islam. Ianya telah ditunjukkan oleh golongan Khawarij yang menggunakan slogan-slogan agama bagi tujuan untuk menumpahkan darah umat Islam.

Persoalannya hari ini yang perlu kita pertimbangkan ialah apakah kita mempunyai kemampuan yang mencukupi untuk menghadapi kekuatan musuh. Ya benar, mati syahid adalah cita-cita setiap umat Islam, namun dari segi politik dan kemunasabahan apakah wajar kita mendedahkan keselamatan dan nyawa umat Islam kepada bahaya. Apatah lagi mereka yang memberi fatwa-fatwa jihad itu bersenang lenang di bilik-bilik hotel, sedangkan yang menimpa kesusahan atau bersusah payah berjuang adalah umat Islam yang percaya kepada fatwa-fatwa berkenaan. Apa yang lebih menghairankan mereka menggunakan kemudahan dan kebebasan Barat seperti di Amerika dan Eropah untuk mencapai cita-cita radikal mereka. Sebagaimana yang dinyatakan di atas tiada apa-apa jalan penyelesaian yang diutarakan selain berkonfrantasi. Saya percaya jika ditanya orang-orang awam Muslim di negara-negara yang bergolak mereka tidak perlu kepada fatwa-fatwa jihad dari kerusi-kerusi empok hotel-hotel lima bintang ini. Apa yang mereka perlu adalah keamanan bagi membolehkan mereka menjalani penghidupan secara biasa. Ini adalah juga sebahagian daripada ajaran Islam dan memelihara maqasidnya iaitu menolak kerosakan itu adalah lebih baik dari mendapat masalah. Menolak kerosakan kehilangan nyawa dan harta adalah lebih baik daripada perjuangan menjatuhkan pemerintahan yang dikatakan zalim yang mana dari segi kemunasabahannya akan mengakibatkan kehilangan nyawa orang awam dan harta benda.

Ajaran yang menyatakan orang yang berjihad itu akan sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah swt. dan para malaikatnya, adalah benar. Namun apakah jihad itu dengan satu cara sahaja sebagaimana yang difahami oleh golongan protagonis. Saya percaya dalam keadaan umat Islam yang lemah dalam segala-gala aspek pada masa kini, jihad yang paling besar adalah bagaimana untuk mengembalikan maruah dan kemajuan umat Islam dari sudut keilmuan, perabadan dan ketamadunan. Dunia barat sungguhpun membenci Islam, namun memberi peluang kepada semua orang, termasuk umat Islam untuk maju dalam bidang ilmu. Jika tidak mana mungkin kebanyakan bijak pandai Islam yang ada pada masa kini mendapat pendidikan dari Barat. Begitu juga dalam kemajuan ekonomi. Dunia barat tidak menghalang kita untuk memajukan ekonomi kita, bahkan mereka menerima sistem perbankan Islam. Oleh itu jihad yang menguntungkan umat Islam di samping memelihara maqasid dan maslahah ialah kemajuan ilmu dan pengukuhan ekonomi dan bukannya retorik-retorik protagonist yang ingin mengekal kedudukan mereka melalui ilusi jihad dan perjuangan secara aggresif dan keganasan. Oleh itu bagi saya secara tidak langsung yang mengorbankan umat Islam dan membawa penderitaan kepada mereka adalah fatwa-fatwa golongan protagonist ini, tapi malangnya mereka tidak sedar ataupun tidak mahu sedar dan terus menerus dalam keegouan mereka kononnya sebagai pembela Islam!

No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...