Saturday 28 November 2015

PERANAN WAQF DALAM PENGAJIAN TINGGI

©Ahmad Hidayat Buang, 2013

Dalam sejarah Islam, institusi sosial masyarakat Islam seperti pendidikan atau madrasah, masjid, tempat rawatan orang sakit, tempat kemudahan awam banyak dibiaya oleh pendapatan harta wakaf. Pembiayaan ini meliputi perbelanjaan mengurus dan pembangunan institusi berkenaan seperti membina, membaiki bangunan, membayar gaji pekerja seperti guru, imam, muezzin dan sebagainya. Kajian oleh Maya Shatzmiller memberitahu institusi sosial di Maghribi pada kurun 14 dan 15 masehi terutama di Bandar Fez, dibiayai kebanyakannya oleh institusi waqf melalui apa yang diistilah sebagai waqfiyyah. Keadaan ini menurutnya telah banyak meringankan perbelanjaan kerajaan. Manakala kajian Robert McChesney menyatakan bahawa waqf menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi masyarakat Islam pada zaman pra moden. Sebagai contoh kajian Murat Çizakça di Turki, menunjukkan semasa pemerintah kerajaan Uthmaniyyah ekonomi masyarakat Islam berkembang kerana terdapat penyediaan kemudahan kredit atau pelaburan daripada tabung waqf yang berbentuk tunai atau apa yang dikenali sebagai cash waqf. Dalam sesetengah keadaan waqf juga merupakan satu simbol komitmen pemerintah Islam kepada ummah atau rakyat yang akan mengikat perpaduan dan perhubungan (atau juga kesetiaan (allegiance)) antara keduanya seperti yang banyak berlaku di negara-negara Islam Timur Tengah dan Asia. Oleh yang demikian tidak menghairankan kebanyakan waqf pada masa dahulu dan juga masa kini diberikan oleh pemerintah-pemerintah Islam.

Maksud waqf ialah menyerahkan pemilikan peribadi harta bagi tujuan sebagaimana yang dikehendaki oleh pembuat waqf. Lazimnya bagi tujuan keagamaan dan kebajikan seperti pembinaan dan pengurusan masjid, tanah perkuburan, membantu fakir miskin dan pendidikan serta lain-lainnya. Waqf juga digunakan bagi tujuan-tujuan lain seperti untuk membantu keluarga sendiri atau apa yang dikenali sebagai waqf ahli. Tujuan waqf sebegini selalunya untuk mengelakkan pemakaian hukum fara’id di samping memperuntukan harta bagi perbelanjaan ahli keluarga selepas kematian pembuat waqf. Oleh yang demikian didapati banyak berlaku penyelewengan dalam waqf bentuk ini dan ianya telah dihapuskan di kebanyakan negara Islam. Di Malaysia waqf sebegini telah dihadkan melalui cara pentadbiran iaitu boleh dibuat selepas mendapat keizinan Majlis Agama Islam dan hanya pihak Majlis yang boleh menjadi pentadbir waqf itu. Sebarang harta boleh dijadikan objek waqf, namun sebaiknya harta berkenaan hendaklah berbentuk kekal seperti hartanah. Sungguhpun demikian mazhab Hanafi membenarkan harta alih termasuk wang sebagai objek waqf. Oleh yang demikian waqf dalam bentuk wang tunai atau cash waqf seperti yang diterangkan di atas dibenarkan menurut pandangan ini.

Sungguhpun waqf sebagaimana yang dinyatakan di atas telah banyak membantu meringankan beban kerajaan dalam perbelanjaan negara, namun ini tidak bererti pihak pemerintah mengabai terus institusi sosial masyarakat Islam. Sebagai contoh kerajaan Abbasiah dan Uthmaniyyah tetap memberi keutamaan kepada bidang pendidikan dan ilmu pengetahuan dengan penubuhan baitul hikmah, madrasah nizamiyyah dan dar al-funun. Imam al-Ghazali yang merupakan tokoh utama ilmu pengajian Islam pernah berkhidmat di institusi ini. Tujuan waqf terutama dalam bidang pendidikan oleh yang demikian merupakan satu bentuk komplimentari kepada perbelanjaan kerajaan pada masa dahulu. Namun begitu tujuan waqf dalam bidang pendidikan dikatakan supaya para ilmuan mempunyai kebebasan tanpa mempunyai apa-apa ikatan dengan sebarang pihak. Contoh kebebasan ini dapat dilihat kepada Institusi al-Azhar (yang termasuk dalamnya Universiti al-Azhar) yang bertindak sampai kehari ini sebagai sebuah badan berkecuali yang memperjuangkan kepentingan umat Islam secara sederhana ataupun apa yang diistilahkan sebagai wasatiyyah. Sungguhpun perkembangan terkini politik di Mesir, selepas kejatuhan Presiden Morsi, memberi cabaran kepada kewibawaan al-Azhar yang sentiasa bersifat apolitikal sungguhpun dikatakan bahawa Morsi dan politik Ikhwanul Muslimin atas nama dan perjuangan Islam. Namun al-Azhar melihat konflik politik di Mesir dalam skop yang lebih luas iaitu kesederhanaan dan kemaslahatan umum daripada pertumpahan darah dan pertembungan politik yang tiada berkesudahan yang akan menjejaskan keamanan dan kesejahteraan umat Islam.

Neutraliti al-Azhar telah menyebabkannya menjadi rujukan umat Islam di peringkat global dan jika tidak keterlaluan sebagai benteng mempertahankan ajaran Islam daripada cabaran-cabaran semasa melalui pendidikan dan kegiatan dakwah. Pengetua pertama Kolej Islam Malaya iaitu Profesor Tan Sri Dr. Mohammad Abdul Rauf sebagai contoh merupakan sarjana yang dihantar oleh al-Azhar bagi membantu pendidikan Islam di Malaysia. Tidak syak lagi sikap neutraliti dan kesederhanaan al-Azhar serta kemampuan untuk mengadakan aktiviti dakwah melalui pendidikan tinggi berpunca daripada bantuan kewangan waqf. Oleh yang demikian bagi memastikan para ilmuan mempunyai kebebasan atau independence ini dan menjamin hasrat pembuat wakaf itu dilaksanakan dengan amanah, sesetengah ulama melarang waqf dibuat melainkan ianya diserahkan kepada golongan ulama untuk ditadbir. Nampaknya perkara ini di Malaysia sudah diikuti dengan hanya membenarkan waqf ditadbir oleh Majlis Agama Islam melalui peruntukan undang-undang negeri.

Terdapat para pengkaji meragui sama ada institusi yang mentadbir waqf pada masa dahulu benar-benar berjaya menguruskan harta waqf tanpa sebarang masalah. Keraguan ini merujuk kepada fatwa-fatwa yang diputuskan di sekitar kurun 14 dan 15 Masehi di Maghribi yang menunjukkan sesetengah harta waqf ini mengalami kerugian kerana tidak mempunyai pendapatan atau dalam keadaan tidak terurus kerana kekurangan modal dan sebagainya. Kajian oleh Murat Çizakça terhadap cash waqf di bandar Bursa, Turki antara tahun 1555-1823 menunjukkan hanya 20 peratus daripada waqf ini yang dapat bertahan melebihi seratus tahun. Hipotesis ini menunjukkan perkara yang sama di Malaysia di mana terdapat banyak dakwaan bahawa harta-harta waqf yang terletak di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam terabai dengan tidak dimajukan. Sungguhpun demikian kajian Murat Çizakça menyimpulkan antara faktor kejayaan Cash Waqf di Turki yang mampu bertahan lebih daripada seratus tahun ialah keupayaan untuk menarik dana-dana baru ke dalam tabung waqf, polisi pelaburan semula keuntungan dan fleksibiliti dalam pengambilan keuntungan daripada pinjaman atau pelaburan melalui teknik istighlal yang menyamai prinsip bay‘ al-wafa’ (conditional sale).

Daripada penerangan di atas dari segi agama dan juga kemajuan ekonomi, penubuhan satu institusi waqf bagi tujuan membiayai pendidikan tinggi di Malayasia adalah amat wajar sekali. Penubuhan institusi waqf bagi tujuan di atas sebegini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadi institusi pengajian tinggi mempunyai autonomi dalam pengurusan sesebuah universiti.  Namun begitu beberapa perkara seperti isu perundangan perlu diberi perhatian. Sebagaimana yang dimaklumi perkara yang menyentuh agama adalah merupakan urusan kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam. Peruntukan Perlembagaan dengan menjelas memberikan bidangkuasa berkenaan kepada kerajaan negeri dan ini diperkuatkan lagi oleh undang-undang negeri yang memberi hak tunggal kepada Majlis sebagai pemegang amanah kepada semua wakaf di dalam negerinya. Sungguhpun didapati terdapat beberapa institusi dalam negara yang menawarkan skim waqf mereka sendiri, namun begitu untuk mengelakkan kekeliruan perbincangan perlu diadakan dengan pihak-pihak yang terlibat.

Untuk menyatakan tiada langsung waqf yang dikhususkan kepada pendidikan termasuk pengajian tinggi di Malaysia mungkin tidak tepat, kerana Majlis Agama Islam dan Baitulmal termasuk juga badan-badan kebajikan yang lain seperti Yayasan dan Persatuan yang mempunyai tabung amanah pendidikan yang khusus memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar. Ini tidak termasuk wang-wang zakat yang dibelanjakan bagi memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar miskin Islam. Cuma barangkali penubuhan sebuah badan khusus baik sama ada di peringkat Pusat atau peringkat institusi berkenaan bagi pengajian tinggi terutama dari aspek membiayai perbelanjaan mengurus dan membayar gaji kakitangan dan ahli akademik tidaklah begitu kelihatan. Oleh demikian pengwujudan dana wakaf yang jumlah yang terkumpul pada masa sekarang sebanyak RM800juta bagi tujuan penubuhan agensi penyelidikan di bawah Bank Negara Malaysia seperti ICLIF, INCEIF dan ISRA adalah satu perkara yang amat dialu-alukan. Namun begitu badan-badan ini adalah terlalu khusus kepada satu displin pengajian sahaja. Adalah diharapkan dana wakaf yang berprofil tinggi seperti ini dapat dikembangkan kepada bidang-bidang pengajian yang lain. Di negara-negara barat terutama di Amerika Syarikat konsep endowment bagi membiayai pendidikan di Universiti sebenarnya tidak banyak berbeza dengan waqf. Perbezaan jika pun ada mungkin terhadap beberapa konsep amanah yang bersifat teknikal kerana dari segi fundamental kedua-dua konsep endowment and waqf ini bermaksud pengurusan harta amanah/waqf bagi tujuan yang dinyatakan dalam suratcara amanah/waqf berkenaan. Oleh yang demikian dari segi pengurusan dan pelaburan harta-harta waqf model-model dari negara berkenaan boleh dipelajari.

Sebagaimana yang dinyatakan di atas persoalan mengenai kemampuan waqf untuk menampung perbelanjaan bagi merealisasikan hasrat pembuatnya perlu diberi perhatian. Dengan mengambil contoh cash waqf Bursa, skim yang sama mungkin boleh dilaksanakan dalam konteks Malaysia iaitu melalui sumbangan dana dan pelaburan modal dan keuntungan melalui institusi kewangan Islam. Satu sumber yang boleh digembelingkan ialah alumni universiti. Jika semua alumni yang telah berjaya dalam kerjaya masing-masing mampu memberi sumbangan baik secara bulanan atau tahunan kepada dana waqf pendidikan tinggi pada kadar-kadar tertentu serta perancangan pelaburan kewangan yang bijak sudah pasti dalam tempoh beberapa tahun universiti atau fakulti berkenaan akan mempunyai dana yang mencukupi untuk menguruskan perbelanjaannya sendiri atau sekurang-kurangnya sebahagian daripada perbelanjaannya.

No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...