Friday 29 April 2016

Abdullah Yusuf Ali dan Tafsir Majma‘ al-Bahrayn: Justifikasi Dr. Surin Pitsuwan Inggeris Sebagai Bahasa Ilmu Islam Zaman Moden

Abdullah Yusuf Ali dan Tafsir Majma‘ al-Bahrayn: Justifikasi Dr. Surin Pitsuwan Inggeris Sebagai Bahasa Ilmu Islam Zaman Moden 

Siri Syarahan Kenangan Abdullah Yusuf Ali kali keempat yang diadakan di Institute of Advanced Islamic Studies, Petaling Jaya, pada 16 April 2016 yang lalu disampaikan oleh Bekas Menteri Luar Thailand Dr. Surin Pitsuwan. Majlis syarahan tersebut dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Badawi. Bersempena siri syarahan ini, satu buku bertajuk Quranic Pictures of the Universe tulisan YBhg Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar dari Universiti Brunei turut dilancarkan oleh Yang Amat Berbahagia Tun. Tajuk syarahan kali ini ialah Inggeris sebagai bahasa modern Islam (English as a modern literary language of Islam). Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan tajuk ini, kerana boleh mengabaikan bahasa-bahasa Islam yang lain seperti Parsi, Turki, Melayu, Urdu dan Swahili. Ini adalah kerana bahasa-bahasa itu sudah berakar berumbi dengan perabadan dan nilai ilmu Islam yang berasaskan kepada Bahasa Arab terutama melalui penulisan dan pendidikan. Namun begitu faktor sejarah dan kemajuan ilmu terutama dalam bidang sains dan teknologi serta penguasaan ekonomi, politik dan ketenteraan Barat telah menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia. Bahasa Arab sekalipun merupakan bahasa Islam yang asli kerana teks al-Quran dan al-Hadith serta juga penulisan utama agama di dalam bahasa berkenaan, penggunaannya dalam komunikasi dan pengembangan ilmu aqli atau juga disebut sebagai acquired atau empirical knowledge tidak meluas sebagaimana bahasa Inggeris. Tambahan pula penggunaan bahasa Arab dalam konteks komunikasi dan ilmu aqli terhad kepada penutur bahasa berkenaan sebagaimana juga bahasa-bahasa utama dunia yang lain seperti Peranchis, Sepanyol, Rusia, China dan Hindi. Faktor globalisasi dan komunikasi melalui internet yang dikuasai oleh syarikat-syarikat Amerika seperti Microsoft, Apple, Google, Yahoo, Whatsapp dan lain-lain telah melipatgandakan lagi penggunaan bahasa Inggeris di peringkat dunia.

Analisis akhir penguasaan bahasa ini ialah siapa yang menguasai ilmu, ekonomi dan politik termasuk ketenteraan akan mendominasi bahasa yang digunakan. Justeru walaubagaimana hebatpun sejarah sesuatu bahasa itu ia akan tunduk kepada pengaruh di atas. Inilah yang berlaku kepada Bahasa Latin dan Sanskrit yang sungguhpun merupakan bahasa ilmu dan tamaddun, namun sudah lagi tidak ditutur. Bagi bahasa Latin kerana kejatuhan Empayar Rom dan bagi bahasa Sanskrit kerana dominasi kuasa politik Parsi dan Arab/Islam. Pada masa kini kedua-dua bahasa berkenaan terhad kepada teks-teks keagamaan. Dalam konteks pengajian Islam, sungguhpun peranan Bahasa Arab sebagai bahasa utama tidak dapat diabaikan, namun kepentingan bahasa Inggeris meningkat sebagai bahasa ilmu dan komunikasi antara sarjana Islam dan juga khalayak umum. Perkembangan ini berlaku kerana bahasa Inggeris di samping faktor utama dominasi ekonomi dan politik, ia memberi peluang sebagai satu medium berkesan kepada pengkaji-pengkaji untuk menilai semula kefahaman tradisi Islam. Pada pandangan saya ini adalah garisbawah utama daripada syarahan yang diberikan oleh Dr. Surin. Dengan membawa pengalamannya sebagai seorang pelajar di Pondok di Selatan Thailand, pendidikan ilmu politiknya di Harvard Universiti telah membuka lembaran baru dalam kefahaman terhadap nilai tradisi Islam yang katanya melalui pembacaan terjemahan Inggeris al-Quran Abdullah Yusuf Ali. Menurutnya Bahasa Inggeris memberi ruang kepada sarjana-sarjana Muslim untuk berfikir secara berbeza ataupun sekurang-kurangnya memetik daripada pandangan tradisi yang kurang terkenal untuk disesuaikan dalam konteks masyarakat moden masa kini. Melalui pengalamannya membaca terjemahan al-Quran Abdullah Yusuf Ali, Dr. Surin membawa contoh tafsiran ayat al-Quran di dalam surah al-Kafh (Cave) ayat 60 tentang makna perkataan al-Bahrayn (two seas) yang lazim ditafsirkan oleh kebanyakan ulama terdahulu sebagai pertemuan antara dua lautan secara fisikal, namun jika dikutip dari beberapa pandangan lain seperti Baydawi, boleh memberi makna lain iaitu pertemuan atau campuran antara dua ilmu yang diwakili oleh Nabi Musa a.s. dan Nabi Khidir a.s. Menurut Dr. Surin, Abdullah Yusuf Ali dalam terjemahannya memberi ruang kepada pembacanya untuk memikirkan apakah makna atau maksud yang lebih sesuai daripada hanya bergantung kepada kefahaman tradisi makna perkataan berkenaan.

Dari kiri Prof Hashim Kamali, Tun Abdullah Ahmad Badawi,
Dr. Surin Pitsuwan dan Prof Dr. Osman Bakar 
Peluang untuk berfikir dan mengutarakan pandangan secara berbeza ini boleh berlaku kerana para sarjana dan ilmuan Islam berkenaan, termasuk Abdullah Yusuf Ali diberikan tempat, pekerjaan dan bahkan perlindungan termasuk sanjungan di tanah-tanah Barat seperti Amerika dan Eropah. Faktor seterusnya, yang tidak disentuh oleh Dr.Surin ialah metodologi yang digunakan untuk mengkaji Islam dan juga peluang penerbitan atau penyebaran hasil kajian secara sistematik dan terfokus. Menjadi maklum bahawa kajian Islam di Barat hampir kesemuanya dilakukan di universiti atau pusat penyelidikan tinggi yang mana teknik terkini teori dan ilmu penyelidikan digunakan keatas material pengajian Islam. Ini berbeza dengan kaedah pengajian Islam di universiti-universiti negara-negara Islam seperti al-Azhar dan kemudiannya di lain-lain negara Arab seperti Iraq, Syria, Jordan dan Arab Saudi yang kebanyakannya masih sehingga sekarang dalam bentuk pemikiran dan kerangka metodologi tradisi. Sungguhpun ada percubaan untuk melakukan perubahan seperti penggunaan metodologi moden seperti pendekatan sejarah, sosiologi dan antropologi, namun penggunaannya di universiti-universiti negara-negara Islam adalah terhad dan bahkan dalam keadaan tertentu mendapat tentangan. Sebagai contoh pendekatan golongan modernis atau reformis seperti Iqbal, Abduh dan lain-lain dianggap sebagai terlalu longgar dan bebas. Ini tidak termasuk penulis atau aktivis sosial Muslim yang dianggap sebagai liberal dan terpengaruh dengan kebudayaan Barat bukan setakat sahaja dicemuh bahkan diancam dengan tindakan undang-undang, semuanya atas dasar untuk melindungi agama Islam. Bahkan kritikan ini bukan sahaja datang dari ulama bahkan dari cerdik pandai Islam sendiri yang mempersoalkan keperluan untuk menganalisis tafsiran al-Quran atau Hadith kerana kedua-duanya adalah muqaddas!

Natijah daripada pobia ini pada peringkat awal ialah percubaan untuk mendominasikan pengajian Islam melalui perantara bahasa Inggeris masih belum berhasil, kerana terdapat sentimen atau perasaan curiga terhadap tujuan Barat serta ilmuan Islam yang bersama-sama Barat terhadap ajaran Islam sebagaimana yang dipelopori oleh Edward Said, Tibawi dan Muslehuddin dalam penulisan mereka. Sebagai contoh terjemahan al-Quran oleh Abdullah Yusuf Ali bukanlah yang pertama di dalam bahasa Inggeris kerana terjemahan al-Quran yang dianggap berpengaruh di kalangan sarjana Barat ialah The al-Quran oleh Richard Bell yang diterbitkan antara tahun 1937-39. Bagi banyak kalangan pengkaji atau pembaca Muslim terjemahan Bell bukanlah sesuatu yang mempunyai kekurangan namun mereka lebih selesa membaca terjemahan Abdullah Yusuf Ali. Hanya selepas kemasukan beramai-ramai pelajar-pelajar ijazah tinggi Islam ke institusi-institusi Barat yang melakukan kajian lanjutan di peringkat sarjana dan PhD maka lahirnya golongan ilmuan Islam yang mempunyai kemahiran dalam Bahasa Inggeris. Eksperimen ini sudah lama dilakukan oleh Al-Azhar pada tahun 1950an dengan menghantar beberapa lulusan mereka belajar di Eropah seperti Syaikh Abdul Halim Mahmod di Universiti Sourbone, Paris dan Prof Muhammad Abdul Rauf dan Prof Ahmad Syalabi di Universiti Cambridge, UK. Barangkali semua sudah tahu apakah natijah eksperimen ini. Namun bagi Dr. Surin hasil daripada gabungan metodologi Barat dan ilmu Islam melahirkan kalangan ilmuan Islam yang berbeza dari latarbelakang tradisi yang disifatnya sebagai majma‘ al-bahrayn.

Sungguhpun demikian, terdapat dua lagi dimensi hasil kesan daripada penggunaan bahasa Inggeris dan metodologi empirikal barat terhadap pengajian Islam iaitu kelahiran ilmuan bukan beragama Islam yang berjaya membuat kajian Islam secara ilmiah dan hasilnya diterima dan diiktiraf oleh masyarakat Barat dan juga Islam. Berbeza dengan sikap dan prejudis orientalis terdahulu seperti yang dikritik oleh Edward Said, golongan ilmuan bukan Islam ini lebih objektif dalam penelitian mereka terhadap Islam. Ini ditambah dengan bahan-bahan bacaan penting yang diterjemah ke dalam bahasa Inggeris seperti al-Quran, Hadith, buku klasikal utama seperti Muqaddimah Ibnu Khaldun, Ihya Ulumuddin Ghazali, Muwatta’ Malik dan lain-lain lagi. Hasil-hasil kajian dan terjemahan yang banyak diterbitkan ini baik samada dalam bentuk buku dan artikel dalam jurnal khusus bagi pengajian Islam telah menimbulkan dimensi seterusnya iaitu menarik minat golongan ilmuan Islam yang tidak terlatih dalam aliran tradisi Islam seperti ahli sains, falsafah, sosiologi, jurutera, ekonomi, undang-undang, kedokteran dan sebagainya untuk membuat kajian lanjut secara perbandingan. Gabungan antara faktor-faktor ini menyebabkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajian Islam telah menjadi bertambah penting kerana ia telah dijadikan sebagai satu pintu gerbang utama mendapatkan ilmu Islam melalui analisis-analisis empirikal dan seterusnya untuk menyebarluaskan dapatan kajian bukan setakat sebagai satu disiplin ilmu tetapi alat dakwah yang berkesan.

Penulis bersama Dr.Surin di tengah dan Prof Datuk  Osman
di kiri sekali seusai Syarahan Peringatan
Di samping golongan ilmuan Islam yang menjalankan kajian secara saintifik, mutakhir ini lahirnya kalangan sarjana atau ulama Islam Eropah atau Amerika yang pada mulanya imigran dari tanah-tanah Islam namun kini telah diambil alih oleh penduduk asal Barat yang mengikuti pendidikan secara tradisi di pusat-pusat pengajian Islam Timur Tengah. Mereka ini yang mana bahasa ibundanya adalah Inggeris namun mempunyai kemahiran dalam bahasa Arab dan berkelulusan dalam bidang pengajian Islam. Kini menjadi satu fenomena atau tren baru penyebaran dakwah Islam melalui bahasa Inggeris melalui saluran media. Sudah tentu medium komunikasi dakwah dalam bahasa Inggeris telah menarik minat ramai golongan profesional Islam dan juga bukan Islam untuk mendalami ajaran agama kerana prestij bahasa Inggeris itu sendiri yang sinonim dengan imej moden, intelektual dan cultured. Jika Abdullah Yusuf Ali masih hidup sudah tentu beliau akan berpuashati kerana usahanya menterjemah al-Quran kedalam bahasa Inggeris telah memberi impak yang besar kepada perkembangan Islam masakini.


No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...