Saturday 5 January 2013

PENYESUAIAN ANTARA AGAMA DAN SAINS


Benarkah Sains dan Agama Bertentangan?
Manusia sejak dari dahulu lagi mempunyai keinginan untuk mengetahui mengenai perkara-perkara misteri seperti kejadian dan fenomena alam, manusia, haiwan dan sebagainya. Keinginan ini timbul kerana manusia mempunyai kuasa intelek. Melalui sejarah kita mendapati jawapan kepada perkara-perkara ini diperolehi melalui dua cara utama iaitu agama dan sains. Dalam sesetengah tamaddun seperti tamaddun Kristian pada zaman pertengahan Eropah (medieval age) pandangan agama sahaja yang diiktiraf sebagai mempunyai jawapan yang tepat kepada setiap persoalan, baik sama ada persoalan yang menyentuh alam fizikal mahupun metafizikal. Dalam tamaddun ini, mereka yang cuba mempersoalkan autoriti gereja (church) akan  dihukum dengan berat dan sebarang percanggahan dengan doktrin gereja tidak dibenarkan sama sekali sebagaimana yang berlaku kepada Michael Serventus (1511) dan Giordano Bruno (1600) yang telah dihukum bunuh atas dakwaan membawa fahaman menyalahi ajaran gereja.[1] Sejarah juga mencatit penolakan gereja terhadap teori Heliocentric Copernicus and Galileo yang kemudiannya menjadi medan pertembungan antara sains barat dan gereja. Namun begitu adalah sukar untuk menafikan kesahihan teori sains dan akhirnya ajaran gereja menjadi lemah pada permulaan zaman yang dikenali sebagai kebangkitan Eropah atau Renaissance.

Kemuncak kepada pertentangan antara sains barat dan gereja ialah apabila Charles Darwin memperkenalkan teori evolusinya melalui bukunya bertajuk Origin of Species pada tahun 1859. Teori ini bercanggah dengan ajaran kristian mengenai kejadian manusia dan alam sebagaimana yang disebut di dalam Book of Genesis.[2] Perdebatan antara gereja dan sains mengenai teori evolusi telah memberi kesan yang besar kepada masyarakat Eropah mengenai pandangan mereka terhadap agama. Ingersoll sebagai contoh memomok ajaran agama dengan katanya: “religion has reduced Spain to a guitar, Italy to a handorgan and Ireland to exile”, manakala Karl Max mencemuh agama sebagai candu masyarakat (the opium of the people).[3] Pandangan umum Eropah terhadap agama ini kemudiannya menular kepada tamaddun lain akibat daripada dominasi barat terhadap negara-negara timur dan selatan melalui penjajahan, kekuasaan ketenteraan, ekonomi dan akhir-akhir ini melalui globalisasi. Proses penularan kefahaman ini di negara-negara timur dan selatan terutama Asia adalah kompleks untuk dihuraikan kerana ia berkait dengan pelbagai faktor lain seperti politik, sosial, pendidikan dan lain-lain.

Namun persoalan asasnya apakah sikap tamaddun negara-negara tersebut yang berasaskan kepada agama tertentu seperti Hindu, Buddha dan Islam terhadap kajian-kajian sains? Penulis Islam seperti M.Husain Sadr berpendapat bahawa tamaddun timur tidak mempunyai pandangan negatif terhadap kajian sains bahkan keadaan yang berlaku adalah disebaliknya iaitu menggunakan kajian sains bagi menyokong dan memperkuatkan ajaran agama. Oleh yang demikian Sadr berpendapat pertentangan agama dan sains adalah ciptaan unik Barat dan mereka yang cuba untuk mengaitkan dengan tamaddun lain mungkin bersifat Eurocentric.[4] Pun begitu andaian bahawa Sains Barat menentang agama bukanlah gambaran yang menyeluruh kerana terdapat argumen menyatakan bahawa kajian sains juga menyokong doktrin dan dogma kristianiti dan apa yang berlaku pada masa lepas adalah salah faham antara saintis dan paderi dan campurtangan politik dan serta perebutan pengaruh antara golongan tertentu dalam negara Eropah. Oleh demikian, semacam terdapat dua pandangan yang berbeza mengenai peranan sains dan agama mengikut pelbagai kebudayaan dan agama. Berasaskan kepada huraian-huraian di atas artikel ini bertujuan untuk membentangkan pandangan mengenai peranan agama dan sains dan cuba untuk membincangkan apakah terdapat penyesuaian di antara kedua-duanya (jika ada).

Agama dan Sains: Perbezaan dan Persamaan
Agama sering ditakrifkan sebagai kepercayaan kepada kuasa supernatural atau Tuhan. Kepercayaan ini akan terselah dalam bentuk komitmen sama ada secara berkelompok atau peribadi dalam bentuk kepercayaan dan amalan ritual. Perkataan agama di dalam bahasa Inggeris yang bermaksud religion berasal daripada bahasa latin religio yang mempunyai beberapa makna antaranya takut (fear), mengumpul (gather) atau untuk mengulang-gulangkan sesuatu sehingga menjadikannya sesuatu yang lazim (to pass over things repeatedly to bind things together).[5] Dalam bahasa Arab agama diterjemahkan sebagai millah atau din. Kedua-dua istilah ini ditakrifkan sebagai jalan atau cara yang diamalkan bagi penyembahan kepada tuhan. Daripada maksud ini agama boleh difahamkan sebagai (1) takut kepada tuhan atau tuhan-tuhan dan segala macam ritual yang dibuat bagi menghormati tuhan itu seperti dalam agama abrahamic, (2) satu obsessi untuk mengadakan amalan ritual kerana perkara tersebut merupakan amalan yang telah dilakukan secara turun temurun lagi seperti dalam agama dan kepercayaan nenek moyang dan (3) kehendak ramai bagi membolehkan masyarakat secara umumnya terlibat dalam upacara keagamaan seperti dalam agama Hindu. Daripada huraian agama di atas agama lebih tertumpu kepada persoalan kepercayaan semata-mata atau faith tanpa menunjangkan kepercayaan itu kepada apa-apa asas empirikal. Ini tidak menghairankan kerana kepercayaan agama secara umum tidak menghendaki logik dan pembuktian empirikal. Begitu juga agama dan pemuka agama seperti paderi dan rahib tidak bertanggungan untuk menunjukkan bukti-bukti terhadap doktrin ajaran agama mereka. Agama sebagaimana kata sesetengah ahli agama hanya memerlukan perasaan kasih saying, ihsan dan penyerahan sebagai syarat kepercayaan kepadanya.

Sains lazimnya diasosiasikan dengan metod atau proses rasional serta empirikal untuk mengkaji fenomena alam atau kejadian alam. Secara logiknya data yang diperolehi oleh sains adalah bersifat objektif dan neutral. Ini adalah kerana asas penting di dalam sains adalah kuasa taakulan atau reasoning bagi menerangkan hakikat sesuatu perkara. Kuasa taakulan ini dikatakan adalah bebas dari pengaruh-pengaruh nilai atau etika. Oleh yang demikian konsep-konsep agama seperti hari kiamat atau kehidupan selepas kematian tidak mendapat tempat dalam sains kerana konsep tersebut tidak dapat diterangkan atau dibuktikan melalui metod empirikal sains secara rasional. Namun begitu tanpa disedari tujuan, arah tuju dan pemakaian konsep atau teori sains adalah didasari oleh nilai-nilai tertentu. Azizan Baharuddin dalam konteks ini menyatakan terdapat dua aliran falsafah secara implisitnya mendasari kemajuan sains masa kini iaitu aliran scientism dan aliran reductionism.[6] Dalam hubungan ini maka tidak hairanlah jika ada orang bercakap bahawa sains juga adalah satu bentuk agama kerana mempunyai tujuan dan matlamat tertentu.    

Daripada penerangan di atas seolah-olahnya terdapat perbezaan ketara antara sains dan agama atau dengan kata lain pertentangan antara dogma dan rasional. Mengikut Khalijah Saleh dalam syarahan perdananya pada tahun 1996 pertentangan ini banyak berpunca daripada sikap ahli-ahli sains barat yang cuba untuk memisahkan agama, doktrin metafisik serta nilai-nilai kemanusiaan dari perbincangan dan proses sains. Mengikut analisisnya faktor ini menjadikan sains terpisah jauh dari budaya orang Melayu Islam di Malaysia dan seterusnya menjadikan masyarakat Melayu tidak bersedia untuk meneroka bidang sains sepenuhnya.[7] Brooke semasa menghurai perhubungan agama dan sains berpendapat bahawa tidak semua perhubungan sains dan agama dalam keadaan konflik. Brooke memberi dua lagi keadaan iaitu sains dan agama saling lengkap melengkapi dan penemuan sains memberi manafaat kepada pengukuhan ajaran agama.[8]

Konflik antara agama pada masa lepas dikatakan adalah berpunca daripada sikap ahli agama yang tidak bersedia untuk bertolak ansur dan mengamal sikap keterbukaan dalam menilai penemuan sains. Dalam tamaddun barat, pertentangan agama dan sains adalah berpunca daripada sikap ahli agama yang enggan memisahkan dasar ajaran agama dengan simbol atau perlambangan tertentu seperti penolakan teori Heliocentric Copernicus kerana mempertahankan doktrin Geocentric bahawa bumi adalah pusat alam. Azizan juga menunjukkan kepada kita bahawa pertentangan ini juga wujud dalam tamaddun Islam di mana tokoh-tokoh reformis Islam seperti Sayyid Ahmad Khan, Afghani dan Iqbal mendapat tentangan daripada ulama-ulama tradisi ketika mana tokoh-tokoh reformis ini menganjurkan sikap keterbukaan kepada sains dan kemajuan ilmu pengetahuan moden.[9] Begitu juga sains bukanlah penyebab utama keruntuhan agama. Drees berpendapat bahawa sains bukan faktor utama kemerosotan agama di Barat. Faktor lain yang lebih utama mengikutnya adalah sikap ajaran agama itu sendiri terhadap perubahan seperti toleransi terhadap kebudayaan dan agama lain dan sikap dingin masyarakat kepada agama. Bagi Dress, walaupun terdapat kemerosotan dalam agama di Barat, ia masih penting memandangkan agama merupakan faktor yang membentuk cara hidup, pengalaman dan pandangan seseorang terhadap dunia dan sekelilingnya.[10]

Agama dan Sains Saling Memerlukan
Semasa membincangkan konflik antara agama dan sains, Brooke mengemukakan dua keadaan yang saling bercanggah iaitu (1) apabila terdapat konflik antara agama dan sains, maka agama akan mengalah dan memberi laluan kepada sains, namun (2) walau sains telah berjaya memperkecilkan agama, ia masih dapat bertahan dan tidak dapat dihapuskan pengaruhnya.[11] Kenyataan ini menunjukkan bahawa sains dan agama mesti wujud bersama-sama demi untuk kesejahteraan umat manusia. Ia juga boleh memberi makna bahawa agama dan sains tidak semestinya wujud dalam konflik, tetapi juga saling bantu membantu dan mewujudkan masyarakat dunia yang lebih baik. Ini adalah kerana jika dulunya agama berada dalam keadaan defensif, maka sekarang tiba giliran sains yang menjadi sasaran kritikan kerana kegagalannya menyumbang kepada kesejahteraan manusia terutama penggunaan teknologi sains secara berlebihan yang menyebabkan pencemaran alam, masalah dan isu moral dan sebagainya. Azizan menegaskan bahawa sudah tiba masanya kemajuan dan pembangunan dalam bidang sains dan teknologi didasari dengan nilai-nilai kemanusiaan. Bagi Azizan kemajuan dan survival umat manusia bergantung kepada gabungan antara kaedah empirikal sains dan nilai-nilai kemanusian.[12]

Agama, mengikut Azizan lagi boleh belajar daripada sains dari segi menerima perubahan. Jika agama adalah kebenaran maka penemuan sains akan menjadikan ajaran agama semakin kukuh kerana sains adalah pemerhatian kepada bukti-bukti empirikal kejadian alam.[13] Azizan menerangkan bahawa sains itu adalah kefahaman terhadap aspek luaran sesuatu realiti, manakala agama adalah kefahaman terhadap aspek dalaman realiti itu. Oleh demikian agama dan sains saling memerlukan untuk mencapai keseimbangan alam ini. Sebagai contoh persidangan mengenai alam sekitar dunia mengistiharkan bahawa pengaruh dan kuasa moral agama hendaklah digunakan bagi mengakhiri ekploitasi manusia yang tidak terkawal terhadap sumber-sumber alam serta menanam semangat bertanggungjawab terhadap pemuliharaan alam sekitar.[14] Dari aspek agama,  sains juga mengajar akan kelemahan dan kekurangan manusia untuk memahami fenomena alam sepenuhnya. Sebagai contoh kejadian ombak tsunami yang melanda negara-negara Asia pada 27 Disember 2004 yang telah mengorbankan lebih 100,000 jiwa mengingatkan ahli-ahli sains dan juga orang ramai bahawa sains ada batasannya. Maka yang menjangkau batasan ini adalah agama. Maka bagi saintis Muslim perkara ini amat relevan kerana ia mengingatkannya sebagai makluk ciptaan Allah swt.[15]

Sikap agama masa kini, terutama Kristianiti, terhadap sains juga telah berubah dengan drastiknya. Penemuan dan pengumuman oleh gereja menyatakan bahawa ajaran-ajaran Injil tidaklah bercanggah atau menekan pemikiran saintifik terutama dalam aspek kritikal seperti pengklonan gen, kejuruteraan genetik dan tenaga nukliar. Namun apa yang memeranjatkan ialah pengumunan oleh gereja katolik bahawa kejadian manusia berkemungkinan bukan ciptaan Tuhan secara tiba-tiba, tetapi melalui proses evolusi.[16] Sungguhpun pihak gereja katolik tidak merujuk kepada teori evolusi dalam kenyataan ini, ramai yang memahami bahawa ia adalah pengiktirafan kepada teori evolusi Darwin. Apa yang berlaku kepada gereja Katolik secara mikronya tidaklah penting kerana kontroversi teori Darwin tersebut mungkin tidak dapat diterima oleh agama atau tamaddun lain terutama Islam. Namun apa yang mustahaknya sudah terdapat titik pertemuan atau sekurang-kurangnya kerjasama antara sains dan agama.

Kesimpulan
Konflik antara agama dan sains mungkin berpunca dari keunikan satu tamaddun Barat yang telah menular kepada tamaddun lain akibat dominasi Barat ke atas umat dunia melalui penjajahan, penguasaan ekonomi dan ketenteraan serta globalisasi. Konflik ini telah menurun masa kini kerana interaksi dengan tamadun lain yang tidak mempunyai pandangan yang hostail terhadap kajian dan penemuan sains. Keadaan sekarang menunjukkan terdapat penyesuaian dan kerjasama di antara sains dan agama. Antonino Zichichi, seorang pakar nukliar fizik Itali yang terkenal menyatakan: “Alaf baru akan menyaksikan kerjasama agung di antara agama dan sains Galileo’.[17] Kerjasama ini berpunca daripada sikap keterbukaan agama dan sains dalam menilai fenomena alam demi kesejahteraan umat manusia. Perkara ini sudah lama ditegaskan oleh Iqbal dengan katanya: “the only course open to us is to approach modern knowledge with a respectable but independence attitude and to appreciate the teachings of Islam in the light of that knowledge, even though we may be led to differ from those who had gone before us”.[18]

5. Rujukan
Azizan Baharuddin (2000), “Rediscovering the Resources of Religion”, dalam Sharon M.P.Harper (editor), The Lab, the Temple and the Market:  Reflections at the Intersection of Science, Religion and Development, International Development Research Centre and Kumarian Press Ltd.
Brooke, John Hedley (1993), Science and Religion: Some Historical Perspective, University of Cambridge Press.
Drees, Willem B. (1996),  Religion, Science and Naturalism, Cambridge University Press.
Edwin, Joseph, “Science Requires A More Holistic Approach”, New Straits Times, September 20, 1996.
Forward, Martin (2002), Religion: A Beginner’s Guide, Oneworld Publications.
Lederer, Edith M., “Religion Must Use Moral Force to Protect Planet From Disaster”, New Straits Times, November 1, 1998.
Sadr, M.Husain (1984), “Science and Islam”, di dalam Ziaudin Sadr, The Touch of Midas: Science, Values and Environment in Islam and the West, Manchester University Press.
Tagliabue, John, “Church Backs Scientific View of Evolution”, New Sunday Times, October 27, 1996.




[1] John Hedley Brooke (1993), Science and Religion: Some Historical Perspective, University of Cambridge Press, h.39.
[2] Pihak gereja katolik tidak pernah secara rasminya mengutuk teori evolusi, namun terdapat kenyataan keras pihak gereja terhadap teori ini oleh Pope Pius XII melalui suratnya bertajuk Humani Generis yang diterbitkan pada tahun 1950. Pope Pius XII bimbang bahawa teori ini akan digunakan oleh golongan atheist untuk memperluaskan lagi pengaruh komunis di kalangan masyarakat dunia. Lihat John Tagliabue, “Church Backs Scientific View of Evolution”, New Sunday Times, October 27, 1996.
[3] M.Husain Sadr (1984), “Science and Islam”, di dalam Ziaudin Sadr, The Touch of Midas: Science, Values and Enviroment in Islam and the West, Manchester University Press, h.15.
[4] Ibid, h.13.
[5] Martin Forward (2002), Religion: A Beginner’s Guide, Oneworld Publications, h.1.
[6] Azizan Baharuddin (2000), “Rediscovering the Resources of Religion”, dalam Sharon M.P.Harper (editor), The Lab, the Temple and the Market: Reflections at the Intersection of Science, Religion and Development, International Development Research Centre and Kumarian Press Ltd, h.109.
[7] Dipetik dari Joseph Edwin, “Science Requires A More Holistic Approach”, New Straits Times, September 20, 1996.
[8] Brooke, op.cit, hh.2-4.
[9] Azizan Baharuddin, op.cit, h.115.
[10] Willem B. Drees (1996),  Religion, Science and Naturalism, Cambridge University Press, h.xiii.
[11] Brooke, op.cit, h.33.
[12] Azizan Baharuddin, op.cit, hh.105-106.
[13] Ibid, h.116.
[14] Edith M. Lederer, “Religion Must Use Moral Force to Protect Planet From Disaster”, New Straits TimesNovember 1, 1998.
[15] M.Hussain Sadr, op.cit, h.23.
[16] John Tagliabue, op.cit.
[17] Dipetik dari Ibid.
[18] Dipetik daripada Azizan Baharuddin, op.cit, h.116.

No comments:

Post a Comment

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...