Saturday 5 January 2013

Ulasan Buku "A World Without Islam"


Graham E. Fuller, A World Without Islam, New York: Back Bay Books (paperback edition), July 2011 (originally published in hardcover by Little, Brown and Company, August 2010). 328 halaman termasuk indeks.

Banyak pihak apabila saya kemukakan tajuk buku ini akan memberi reaksi pesimis dan ada juga yang membuat kesimpulan bahawa buku ini bertujuan untuk mengkritik atau menghina Islam. Saya tidak salahkan mereka kerana tajuk buku ini adalah sedikit kontroversi dan bakal mengundang kecaman. Namun begitu itulah kesalahan yang sering dilakukan oleh kebanyakan kerana sering membuat penilaian tanpa menyelidiki dengan lebih mendalam. Dalam konteks buku ini ialah dengan cuba membaca dan seterusnya memahami apa yang akan cuba disampaikan oleh penulis. Ternyata selepas membaca buku ini sebanyak dua kali, perkara yang ingin ditegaskan oleh penulis buku ini bahawa konflik dan ketegangan politik dan ketenteraan termasuk keganasan dan 

peperangan adalah berpunca daripada faktor-faktor selain agama seperti  geopolitik, ekonomi, ketegangan etnik, perebutan kuasa dan pelbagai lagi. Sungguhpun tidak dinafikan bahawa faktor keagamaan adalah penting dan nyata dalam konflik dan ketegangan ini, namun mengikut penulis ianya bukan penyebab utama. Agama bagi penulis baik sama ada Yahudi, Kristian atau Islam hanya sebagai simbol atau obor bagi menggalakkan penentangan kepada sesuatu perkara yang boleh menggugat dan menjejaskan kepentingan sesuatu golongan, etnik atau otoriti. Dalam menyokong kesimpulan ini, penulis menggunakan pendekatan sejarah, kajian sains politik dan perbandingan agama bagi menunjukkan konflik keagamaan ataupun ketenteraan serta politik yang wujud sejak dari zaman dahulu sebelum Masehi sehingga kini berpunca daripada faktor-faktor selain agama. Bagi penulis, tanpa faktor agama pun, segala peristiwa berkenaan yang dicatit oleh sejarah seperti perang Salib, saikologi penentangan kepada kuasa-kuasa barat atau penjajahan, akan tetap berlaku. Dengan tidak menafikan faktor agama memainkan peranan dalam konflik ini, ianya bukan penyebab namun sekadar sebagai penggalak atau alat bagi mencapai tujuan-tujuan tertentu yang bersifat politik dan ketenteraan serta strategik ekonomi. Contoh serta argumen yang dibawa oleh penulis adalah komprehensif iaitu konflik antara agama Yahudi dan Kristian, konflik antara sesama golongan Kristian (melalui gerakanReformation), konflik antara Kristian dan Islam (melalui perang Salib), hubungan antara Islam dan agama lain di India dan China dan akhirnya hubungan Islam dengan dunia barat dan Eropah melalui pelbagai isu terutamanya minoriti, identiti, asimilasi budaya, masalah Palestin dan perang ke atas keganasan oleh Amerika yang kadangkala dilabelkan sebagai Perang Salib Moden. Bagi penulis hubungan antara agama baik sesama agama samawi atau yang dikenali sebagai Abrahamic Religionsdan juga dengan agama lain di India dan China adalah toleren. Mengikut penulis Islam sebagaimana yang diamalkan di India dan China telah berjaya mengakomodasi elemen-elemen tempatan yang terdapat dalam masyarakat beragama Hindu dan Buddha (begitu juga akomodasi Islam dengan kebudayaan Jawa). Yang paling jelas proses tolak ansur ini ialah di China di mana karakter kebudayaan China secara terserlah diserapkan dalam amalan dan penghayatan Islam. Yang menimbulkan ketegangan antara hubungan agama adalah isu etnik, identiti bangsa dan penjajahan yang menimbulkan apa yang diistilahkan sebagai sempadan artifisial bagi etnik-etnik ini dalam peta politik moden negara-negara yang lahir akibat atau kesan daripada penjajahan atau peperangan. Bagi penulis ketegangan antara Islam dan Kristian semasa peperangan Salib berpunca daripada keresahan pihak Gereja untuk mengatasi masalah dalaman Eropah yang kucar kacir akibat daripada perebutan kuasa antara kuasa-kuasa feudal. Oleh yang demikian perlu pada satu saluran untuk meredakan keadaan ini iaitu dengan menimbulkan persepsi penindasan Islam terhadap orang-orang Kristian di Palestin (al-Quds), sungguhpun keadaan masyarakat Kristian dan Yahudi di al-Quds semasa pemerintahan Islam adalah jauh lebih baik berbanding dengan keadaan semasa di bawah pemerintahan Kristian kemudiannya. Penulis menutup perbincangan bukunya dengan mengulas isu peperangan Amerika ke atas keganasan yang dikatakan berpunca daripada sikap radikalism dan ekstrimisn sesetengah kalangan masyarakat Islam. Mengikut penulis radikalism dan esktrimism ini adalah hasil ciptaan Amerika dan Eropah sendiri melalui dasar-dasar luarnya yang menekan rungutan masyarakat Islam terhadap beberapa isu politik dan ekonomi. Sebelum itu mengikut penulis ialah dasar penjajahan yang menyekat perkembangan dan peranan institusi ulama dan Islam seperti Qadi dan Mufti dalam pemerintahan dan masyarakat yang menyebabkan pada akhirnya timbul golongan agama yang menentang Barat dan semua mereka yang menyokong Barat dalam usaha mereka untuk mencari tempat yang bermakna dan relevan dalam masyarakat Islam. Mungkin itulah yang dimaksudkan oleh penulis bahawa tanpa Islam pun semua konflik dan masalah yang dihadapi oleh dunia barat ketika ini akan tetap berlaku.

1 comment:

  1. saya baru beli buku ini. teruskan membuat ulasan buku2 yang menarik ya!

    ReplyDelete

Pengelakan secara sengaja menjawab soalan dari operator insurans boleh menyebabkan tuntutan pampasan dibatalkan

  CHONG LAI KENG v. PRUDENTIAL ASSURANCE MALAYSIA BHD   [2024] 1 CLJ 293 HIGH COURT MALAYA, SHAH ALAM JAMHIRAH ALI JC [CIVIL SUIT NO: BA-22N...